SEJARAH
Suasana pagi pada satu hari dalam tahun 1958 adalah begitu indah sekali dengan langit kelihatan kebiruan dan udara bertiup nyaman. Sebuah pesawat Scottish Aviation Twin Pioneer, selepas penerbangan yang mengambil masa selama 50 jam dari Scotland, mendarat di Stesen RAF di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Seminggu kemudian, dalam satu upacara yang sungguh bersejarah, Perdana Menteri Malaya yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman telah melakukan upacara merenjis pesawat tersebut yang kemudiannya dinamakan Lang Rajawali. Tentera Udara DiRaja Malaya dengan rasminya telah dilahirkan.
Beberapa bulan kemudian, sebuah lagi pesawat Twin Pioneer tiba diikuti oleh enam buah pesawat Chipmunk untuk tujuan latihan juruterbang di kalangan anak-anak tempatan. Dengan ini, keanggotaan TUDM berkembang dengan pesat dan dua buah pesawat Scottish Aviation Single Pioneer telah diperolehi pada bulan Februari 1959. Saiz skuadron yang baru bertunas ini terus membesar dengan penugasan yang semakin bertambah dan banyak lagi pesawat yang bakal tiba, oleh itu satu skuadron baru perlu ditubuhkan untuk menangani masalah tersebut.
Krew pertama pesawat HeronPada hari yang begitu bersejarah iaitu pada19 Januari 1962, No 2 Skuadron telah ditubuhkan. Tugas skuadron baru ini ialah untuk meringankan tanggungjawab No 1 Skn. Lokasi asal skuadron ini ialah di Pangkalan TUDM Sungai Besi, tempat di mana terletaknya Muzium Tentera Udara sekarang. Sewaktu ditubuhkan, skuadron ini hanya mempunyai 15 pesawat dan telah dibahagikan kepada 3 flait dengan setiap flait diberikan penugasan yang bebeza. 4 pesawat Single Pioneer dari Flait A terlibat dengan operasi yang membabitkan landasan penerbangan dalam hutan, menjatuhkan bekalan dari udara, penerbangan perubatan dan menerbangkan anggota bagi jarak dekat. Flait B ialah flait latihan di mana juruterbang-juruterbang dilatih meggunakan pesawat Hunting Percival Piston Provost. Flait C pula mengendalikan 3 buah pesawat De Havilland Doves dan 2 Cessna 310 F, yang kemudiannya dinamakan ‘Tirok’ dan ‘Serindit’. Flait C, selain daripada menjadi flait VIP atau VVIP, juga menjalankan penerbangan berjadual ke Malaysia Timur. Sebulan kemudian, skuadron ini berjaya melengkapkan anggota ‘ground crew’nya yang diketuai oleh FSjn Bakar dan 32 yang lain. Sebelum itu, penyelenggaraan pesawat dikendalikan oleh ‘centralized wing staff’.
Malang tidak berbau, skuadron ini mengalami kemalangan udara pertamanya sewaktu menjalankan tugas penerbangan apabila pada 24 April 1962, sebuah pesawat Single Pioneer FM 1015 terhempas berhampiran Ulu Langat, menghala ke Bentong, agak bernasib baik kerana tiada kemalangan jiwa. Pesawat yang malang itu telah diterbangkan oleh Flt Lt A.H. Wright dan Pilot Officer Maximillan Theseira. Pasukan penyelamat udara telah berjaya menjumpai mereka dan menjatuhkan bekalan makanan dan yang paling penting sebungkus rokok untuk dinikmati oleh kedua-duanya sementara menuggu pasukan penyelamat tiba.
Hunting Percival (piston) Provost
Pada bulan Jun tahun yang sama, flait latihan iaitu Flait B telah dimansuhkan; 6 buah pesawat Piston Provost telah diserapkan ke satu unit baru di mana Flait B sendiri bertukar menjadi Sekolah Latihan Penerbangan atau FTS. Sejak itu, latihan asas juruterbang dikendalikan oleh sekolah ini yang kemudiannya berpindah ke TUDM Alor Setar sebagai Pusat Latihan Terbang 1 atau Pulatibang 1. Sebulan kemudian, pegawai pertama yang menjadi OC No 2 Squadron iaitu Sqn Ldr M.J. Norman mengepalai penerbangan 2 Hunting Percival (Piston) Provost dan sebuah lagi pesawat Single Pioneers dari Scotland bernombor siri FM 1018 dan FM 1019.
De Havilland Heron
Setahun selepas skuadron ini ditubuhkan, pertambahan dari segi jumlah pesawat dapat dilihat. Pada bulan Ogos 1963, sebuah pesawat de Havilland Heron dengan nombor siri FM 1054 diterbangkan dari United Kingdom oleh Flt Lt Barclay dan Pilot Officer Buang Ahmad. Pesawat Heron mempunyai empat injin omboh yang menjadikannya satu pesawat yang unik hingga ke hari ini dan berprestasi tinggi pada zamannya.
Scottish Aviation Single Pioneer
Sebulan kemudian, sebuah lagi pesawat Heron dengan nombor siri FM 1055 tiba diterbangkan oleh OC skuadron sendiri, Sqn Ldr M.J. Norman dan pembantu juruterbangnya Pilot Officer Soon Liang Cheng.
Pada waktu ini, keadaan politik semasa antara negara ini dan negara jiran iaitu Indonesia adalah membimbangkan. Tekanan dari pergolakan politik ini adalah begitu tinggi menyebabkan semua skuadron penerbangan dalam TUDM berada dalam keadaan berjaga-jaga. Usaha untuk mengamankan keadaan oleh Perdana Menteri pada masa itu iaitu Tunku Abdul Rahman berhasil apabila satu perjumpaan antara beliau dan Presiden Sukarno di Manila diaturkan dengan presiden Filipina iaitu Presiden Macapagal sebagai orang tengah.
Perjanjian yang dikenali sebagai Manila Accord telah ditandatangani pada 6 Mei 1963 di Manila. Keadaan menjadi tenang semula selepas itu. Sementara itu, di skuadron, kedua-dua pesawat Cessna 310F, iaitu Tirok dan Serindit telah ditamatkan perkhidmatannya dalam bulan Oktober 1963.
Perkembangan politik menjadi semakin teruk selepas itu. Dalam bulan September 1963, Presiden Sukarno mempertikaikan perjanjian tersebut dan mula mencanang peperangan.
Ini ditambah pula dengan pertikaman lidah dan pertikaian hakmilik antara Perdana Menteri dan ketua negara Indonesia tersebut. Komando Indonesia mula menyusup masuk negara ini, kebanyakkannya melalui Melaka dan Sarawak. Di Johor, tempat masuk mereka ialah Pontian, Muar, Labis, dan Besut. Mereka memulakan serangan dari pangkalan-pangkalan hadapan mereka seperti Pulau Bengkalis di Sumatra Timur dan Kepulauan Riau. Pertempuran di sana-sini menjadi acara utama harian.
Skuadron ini melakukan sekurang-kurangnya tiga penerbangan operasi seminggu. Antara tugas-tugas yang dilakukan ialah rondaan di sebelah pantai barat Semenanjung Malaya, pengangkutan trup dan peralatan, menjatuhkan bekalan dari udara dan menerbangkan anggota-anggota yang cedera keluar dari kawasan operasi. Pesawat Single Pioneer adalah amat sesuai untuk penerbangan tinjauan rendah di mana sayapnya yang terletak di sebelah atas memberikan pandangan tanpa had dari udara ke tanah, ini ditambah pula dengan kebolehannya melakukan penerbangan pada kelajuan yang amat rendah.
Pada 3 Nov 1964, lebih dari 2 juta helai ‘leaflets’ telah digugurkan dari udara ke dalam kawasan Indonesia untuk mempengaruhi komando mereka yang digelar Siliwangi supaya tidak melibatkan diri mereka dengan Konfrontasi. Dengan jatuhnya Sukarno, Konfrontasi berakhir dengan pembunuhan seramai 1,300 anggota tentera Indonesia yang menyelinap masuk ke negara ini oleh angkatan tentera kita.
Tahun 1965 menandakan mulanya penerbangan pesakit awam oleh skuadron ini yang juga dikenali sebagai Penerbangan Ikhsan. Penerbangan Ikhsan yang pertama sekali dilakukan ialah menerbangkan seorang ibu yang kematian bayinya sewaktu dilahirkan di Aur, sebuah kawasan penempatan di pendalaman Pahang dengan menggunakan pesawat Single Pioneer yang diterbangkan oleh Flt Lt Barclay. Kisahnya bermula apabila keadaan ibu malang tersebut menjadi semakin teruk, orang-orang kampung meminta pertolongan melalui pihak perubatan sehingga sampai ke pengetahuan Menteri Kesihatan pada waktu itu iaitu Dato’ Ong Yoke Lin. Melalui inisiatifnya, pihak TUDM telah dihubungi dan No 2 Skuadron telah ditugaskan untuk mengendalikan misi mengambil ibu malang tersebut. Kelewatan doktor menyebabkan pesawat berlepas agak lewat iaitu pada jam 1730H, waktu siang menjadi semakin suntuk. Flt Lt Barclay berjaya melakukan pendaratan di lapangan yang berdekatan dengan penempatan tersebut. Pesawat tersebut berlepas sejurus selepas wanita itu dimasukkan ke dalamnya. Keadaan yang agak gelap pada waktu itu menyebabkan penduduk kampung berbaris di sepanjang landasan tersebut dengan memegang lampu suluh untuk membantu pesawat berlepas. Ia adalah satu kejayaan yang menakjubkan dan wanita tersebut, Zahara, telah berjaya diselamatkan. Bermula dari itu, penerbangan ikhsan menjadi sebahagian daripada tugas utama skuadron.
Pada 27 May tahun yang sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Subang yang sekarang ini dikenali sebagai Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah dibuka dengan rasminya. Pesawat Heron telah memainkan peranan yang penting dalam membantu Jabatan Penerbangan Awam untuk pelarasan ke atas alat bantuan panduarah di sekeliling lapangan terbang tersebut. Jumlah jam penerbangan untuk tujuan tersebut sahaja ialah 31 jam. Pesawat Heron juga menjadi pesawat yang pertama sekali mendarat di lapangan terbang tersebut sebaik sahaja ianya dibuka dengan rasmi.
Pada tahun 1966, pesawat-pesawat Single Pioneer menamatkan perkhidmatan mereka dengan No 2 Skuadron. Kesemua 5 pesawat Single Pioneer tersebut telah diserahkan kepada No 1 Skuadron, meninggalkan No 2 Skuadron dengan hanya 3 buah pesawat Doves dan 2 buah pesawat Herons.
Pada 29 Feb 1968, Kerajaan New Zealand telah menghadiahkan TUDM 2 pesawat Doves, FM 1056 dan 1057, sebagai tanda persahabatan. Kedua-dua pesawat tersebut telah diterbangkan dari Pangkalan Udara Whenupai, New Zealand. Bahagian dalam pesawat-pesawat itu telah digantikan dengan yang baru dan sebulan kemudian, pesawat mula beroperasi di bawah No 2 Skuadron untuk tugas penerbangan komunikasi. FM 1056 telah dihantar ke Kuching untuk tugas detasmen sementara selama 8 bulan. Bulan Mac 1968 menyaksikan pertukaran OC Skuadron, Sqn Ldr Soon Lian Cheng menjadi OC yang ketiga apabila beliau mengambilalih jawatan tersebut daripada Sqn Ldr Leonard George Holden.
HS-125 (Merpati)
Kebanyakan dari perkembangan awal TUDM dipengaruhi oleh Perdana Menteri pada waktu itu iaitu Tunku Abdul Rahman dan Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak. Pada bulan Januari 1969, YAB Perdana Menteri sendiri telah mengikuti penerbangan pesawat HS 125 buatan British Aerospace, United Kingdom untuk tujuan penilaian. Pada bulan Mac 1970, sebuah daripada dua buah pesawat HS 125 yang dibeli dari British Aerospace, United Kingdom selamat tiba di TUDM Sungai Besi menandakan bermulanya era penerbangan jet eksekutif di No 2 Skuadron. Selain daripada keselesaan penerbangan dan berkebolehan terbang tinggi bagi mengelak cuaca buruk, pesawat ini juga berupaya terbang pada kelajuan tinggi melebihi 500 bsj. Antara anakapal pertama yang mengendalikan pesawat HS 125 ini ialah Sqn Ldr N. Maniam, Flt Lt J.N. Turner, Pilot Officer Goh Boon Cheong dan Pilot Officer Abdul Shukor bin Abdul Aziz. Dengan kehadiran pesawat HS 125 ini, TUDM, buat julung kalinya memperkenalkan perkhidmatan kabin untuk setiap penerbangan VVIP/VIP dengan menggunakan Kuatermaster Udara (AQM). Antara Kuatermaster Udara terawal yang terlibat dengan perkhidmatan kabin ialah PW 1 Razali Sham, PW 1 Victor Tuan, PW 1 Shah dan FSjn Hassan. Dua minggu kemudian, sebuah lagi pesawat HS 125 selamat tiba. Pada 23 Jul 70, pesawat HS 125 telah melakukan penerbangan sulung ke Kuching, Sarawak dan menjadi pesawat pengangkut jet TUDM yang pertama melintasi Laut China Selatan. Peristiwa ini telah menjadi satu kebanggaan negara dan telah disaksikan sendiri oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak yang berada di dalam pesawat tersebut. Sejak itu, pesawat tersebut menjadi tunjang utama untuk penerbangan VIP/VVIP.
Tahun 1971 menyaksikan tamatnya perkhidmatan pesawat Doves bermula dengan pemberhentian tiga buah pesawat tersebut diikuti oleh dua buah lagi dua tahun kemudian. Dalam tempoh ini, dengan kekurangan juruterbang dan keperluan untuk melatih lebih ramai juruterbang di peringkat TUDM, skuadron meneruskan operasi harian seperti biasa. Antara tahun 1973 dan 1974 skuadron ini hanya mempunyai dua buah pesawat HS 125 dan tiga buah pesawat Heron dalam pegangan. Jumlah ini, walaubagaimanapun, meningkat dengan penambahan pesawat baru pada tahun 1975. Ianya bermula dengan perolehan empat buah pesawat Cessna 402B di mana dua daripada pesawat tersebut digunakan untuk penerbangan komunikasi dan dua lagi untuk tujuan pemetaan.
Antara pramugari awal TUDM
Apabila keperluan untuk pesawat yang lebih besar dan laju timbul, penilaian telah dilakukan ke atas pesawat-pesawat Boeing 737, Gulfstream 2, McDonnell Douglas DC 9 dan Fokker Fellowship F28. Pesawat F28 telah berjaya menarik minat penilai menyebabkan kerajaan membeli dua buah pesawat tersebut dengan harga RM 16.7 juta setiap satu. Pesawat-pesawat tersebut tiba dari Belanda pada 6 Mei 75 diketuai oleh Lt Kol Arumugadass dan Mej Low See Fong. Selain daripada Kuatermaster Udara lelaki, mulai saat itu, Kuatermaster Udara wanita mula diperkenalkan buat pertama kalinya dalam TUDM sebagai pramugari di mana empat anggota wanita iaitu Sjn Lily Loh, Sjn Noraishah, Sjn Che’Yon and Sjn Fauziah Ariffin telah menerima sayap masing-masing pada 16 Apr 75. Semenjak itu, Kuatermaster Udara dan pramugari menjadi sebahagian daripada anakapal bagi setiap penerbangan pesawat jet di No 2 Skuadron.
Fokker F28 Fellowship Mk 1000
Tahun yang sama juga menyaksikan peningkatan pangkat OC kepada Lt Kol. Seminggu kemudian, pesawat F28 melakukan penerbangan sulung ke Kuching, Sarawak membawa 49 trup, anakapal terdiri daripada Mej Ali Wayat, Mej Sharkawi Hasbie, FSjn Thum Sin Yin, FSjn Razali Sham dan Sjn Thomas Low Ah See. Komander Pangkalan TUDM KL, Kol Mohd. Yunus bin Tasi, turut hadir menyaksikan penerbangan tersebut. Dari Kuala Lumpur, pesawat F28 hanya mengambil masa selama 90 minit untuk sampai ke Kuching,penerbangan yang sama mengambil masa selama 3 ke 4 jam jika menggunakan pesawat Heron atau pesawat Caribou. Kedua-dua buah pesawat F28 tersebut ditugaskan untuk penerbangan VVIP/VIP yang juga melibatkan orang-orang kenamaan luar negara seperti Ratu Elizebeth, Raja Thailand, Emperor Akihito, DYMM Sultan Brunei, Raja Jordan, Presiden Zambia, Perdana Menteri-Perdana Menteri Britain, Singapura, Pakistan, Sri Lanka, Papua New Guinea, ketua Kongres Kebangsaan Afrika Nelson Mandela dan lain-lain lagi. Kelebihan melakukan penerbangan jarak jauh pesawat F28 membolehkan VVIP/VIP bergerak ke destinasi yang lebih jauh dalam keadaan yang begitu selesa.
Dengan jumlah penerbangan yang semakin meningkat dari hari ke hari, lebih ramai pramugari diambil untuk memikul beban tugas yang semakin banyak. Sehingga ke hari ini (2006), satu-satunya pesawat F28 yang tinggal, M2801, masih lagi memberikan perkhidmatan terbaiknya walaupun alat-alat ganti untuk menyelenggara pesawat tersebut semakin sukar diperolehi. Selepas 31 tahun dalam perkhidmatan, lebih berumur dari sesetengah juruterbangnya, pesawat F28 bolehlah dikira sebagai pesawat yang paling lama berkhidmat di bawah naungan skuadron ini hingga kini.
Pada tahun 1977, skuadron ini telah berpindah ke tingkat 1 bangunan terminal udara TUDM KL dan pada hujung tahun yang sama, pesawat-pesawat Heron, selepas 14 tahun berkhidmat dengan TUDM, ditamatkan perkhidmatannya. Empat tahun kemudian, skuadron ini sekali lagi berpindah buat kali kedua ke bangunan bersebelahan dengan masjid pangkalan.
Cessna 402B
Dalam tahun 80an, penerbangan antara benua mula bertapak dan ini seterusnya menjadi salah satu ciri yang diperlukan bagi setiap pesawat pengangkut dari jenis jet. Skuadron ini tidak ketinggalan dengan perkembangan ini dan satu proses pembelian dua buah pesawat jet eksekutif jarak jauh dijalankan. Dalam masa yang sama, 44 buah pesawat Pilatus PC-7 tiba dari Switzerland pada tahun 1983 menggantikan 8 buah pesawat Cessna 402B di Pusat Latihan Terbang 1 atau Pulatibang 1, TUDM Alor Setar. Pesawat-pesawat C402B dipindahkan ke No 2 Skuadron untuk melakukan penerbangan komunikasi dan juga sebagai satu platform untuk latihan peralihan pesawat injin banyak (multi-engine). Tidak lama selepas itu, ‘multi-engine conversion unit’ (MECU) ditubuhkan dan menjadi sebahagian daripada No 2 Skuadron. Setahun kemudian, tiga buah pesawat Cessna 402B ditumpangkan ke TUDM Kuching untuk melakukan tugas penerbangan komunikasi. Detasmen tersebut menjadi kekal pada tahun1987. Pada tahun1984, pesawat jet eksekutif jarak jauh antara benua yang dinanti-nantikan tiba, dua buah pesawat Canadair Challenger CL 600 telah diterbangkan merentasi Lautan Pasifik oleh OC Skuadron sendiri iaitu Lt Kol Mustafa bin Mohd Yusof.
Canadair Challenger CL 600 di banjaran Rocky
Dari Okt 85 hingga Okt 86, sebuah pesawat amfibia dari jenis Albatross HU l6B sempat memberi perkhidmatan kepada No 2 Skn, ia kemudiannya telah diambil alih oleh No 1 Skn. Skuadron ini telah dipindahkan sekali lagi buat kali ketiga, masih lagi di TUDM KL, ke bangunan kayu yang sebelum itu diduduki oleh No 14 Skuadron. Sebuah dari dua buah pesawat F28, FM2802, telah ditamatkan perkhidmatannya dan dijual kepada Papua New Guinea Airways.
Seperti kata pepatah Melayu, yang patah kan tumbuh yang hilang kan berganti, sebuah pesawat jet eksekutif yang begitu moden (pada waktu itu), Falcon 900, dengan nombor M3701, telah dimasukkan ke dalam inbentori No 2 Skuadron setelah tiba dari Amerika Syarikat pada 23 Mei 89. Antara anakapal yang terlibat dengan penerbangan tersebut ialah Mej Zulkainin Md Dom TUDM dan Mej Tengku Nasir TUDM. Pesawat-pesawat Challenger dan Falcon 900, dengan kebolehan penerbangan jarak jauh dan peralatan avioniks yang terkini, membuatkan perjalanan orang- orang kenamaan menjadi lebih mudah dan mengembangkan operasi pesawat ke tahap global. Walaubagaimanapun, pada bulan Ogos tahun yang sama kedua-dua pesawat Challenger telah dijual kepada Federal Express Company, USA.
Pada penghujung tahun 1989, No 2 Skuadron sekali lagi berpindah ke lokasi keempatnya, kali ini ke sebuah pangkalan udara yang baru dibuka iaitu TUDM Subang. Flait B dengan 8 buah pesawat C402B, walaubagaimanapun, terus menetap di TUDM KL sebagai satu detasmen.
Dassault Falcon 900
No 2 Skuadron telah melakarkan sejarah apabila dua juruterbang wanita TUDM iaitu Lt Fadzillah binti Abdullah dan Lt Zainab binti Sharif menyertai skuadron ini. Walaupun ramai orang kurang yakin dengan kebolehan mereka, kedua-dua mereka telah berjaya menjadi juruterbang operasi setelah menamatkan kursus peralihan pesawat injin banyak menggunakan pesawat Cessna 402B pada tahun1989 dengan jayanya. Pada bulan Mei 91, Lt Fadzillah telah berjaya mendapat anugerah setelah berjaya menjadi komander pesawat pertama pesawat C402B dari kalangan wanita, dan dari segi fakta ialah wanita pertama yang diberi kepercayaan sebagai komander pesawat bagi mana-mana pesawat angkut yang dikendalikan oleh TUDM.
Maj Fadzillah. Komander wanita pertama pesawat cessna 402B
Pada 17 April 91, setelah menabur jasa selama 21 tahun, kedua-dua pesawat HS 125 telah ditamatkan perkhidmatan. Secara keseluruhannya, kedua-dua pesawat telah memberi sumbangan yang tidak terhingga kepada negara dan pemberhentian mereka adalah tepat pada masanya.
Anakapal dan “groundcrew” terakhir pesawat HS 125
Bulan Disember 1994 menyaksikan pesawat Cessna 402B ditukarkan ke No 4 Skuadron dan tugas-tugas lamanya dikekalkan iaitu melatih juruterbang-juruterbang pesawat angkut yang baru dan komunikasi. Mulai 18 Jul 95, skuadron ini dikenali sebagai No 2 Skuadron DiRaja setelah dianugerahkan Panji DiRaja.
Untuk memenuhi permintaan penugasan penerbangan VIP/VVIP yang semakin meningkat, kerajaan merancang untuk membeli sebuah pesawat eksekutif yang baru. Pesawat Bombardier Global Express telah menjadi pilihan, apabila persetujuan membeli pesawat ini dicapai dan sementara menanti pesawat ini tiba, kerajaan telah menyewa sebuah pesawat Canadair RJSE sebagai pengganti sementara untuk memenuhi keperluan operasi.
Bombardier-Global Express BD700 di Luton London
Pada 9 Dec 1999, penantian untuk pesawat eksekutif yang tercanggih di dunia berakhir apabila pesawat Global Express dengan nombor M4801 mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Subang. Dari segi keupayaan, dalam keadaan tertentu penerbangan, pesawat ini mampu melakukan penerbangan tanpa henti dari London Ke Subang dalam masa 13 jam. Kebolehan yang luar biasa ini boleh menjimatkan kerajaan kerana pesawat tidak perlu mendarat untuk mengisi minyak di mana caj-caj tambahan akan dikenakan oleh lapangan terbang sekiranya pesawat tersebut mendarat untuk mengisi minyak. Penumpang VIP/VVIP juga boleh menjimatkan masa perjalanan sehingga 2 jam iaitu jangkamasa yang diperlukan untuk mendarat, mengisi minyak dan berlepas semula ke destinasi. M4801 telah dikembalikan kepada pihak Bombardier seperti dipersetujui dalam kontrak pembelian dan telah digantikan dengan sebuah pesawat Global Express yang baru dengan nombor M4802, pesawat yang digunakan sekarang.
Selepas penerbangan tanpa henti dari London
Pesawat terbaru dan terbesar yang diterima oleh No 2 Skuadron pada Ogos 2003 ialah pesawat Boeing Business Jet (BBJ) 737-700 NG yang sebelumnya dimiliki oleh MAS. Saiznya yang lebih besar jika dibandingkan dengan pesawat-pesawat lain membolehkannya membawa lebih ramai penumpang, lebih banyak muatan dan dalam masa yang sama boleh menjangkau jarak penerbangan yang boleh dibanggakan.
BBJ-737-700NG
Pesawat-pesawat Global Express, BBJ 737-700 dan Falcon 900 (dari sesetengah aspek) ialah pesawat jet generasi baru yang dalam keadaan asalnya sudah dilengkapkan dengan peralatan avioniks yang serba canggih. Pesawat Global Express dan pesawat BBJ 737-700 adalah pesawat ‘glass cockpit’ penuh dan dilengkapkan dengan peralatan ‘auto throttle’, manakala pesawat Falcon 900 pula ialah pesawat separa ‘glass cockpit’ dan tidak mempunyai ‘auto throttle’. Namun begitu, ketepatan ketiga-tiga pesawat tersebut melakukan penerbangan RNAV, iaitu penerbangan antara ‘waypoint’ ke ‘waypoint’ (bukan ‘navaids’) ialah satu fenomena, sesuatu yang pesawat lama seperti Fokker F28 tidak boleh lakukan. Pesawat-pesawat tersebut bukan sahaja mampu terbang tepat secara mendatar, mereka juga boleh terbang dengan sangat tepat secara menegak. Dengan kebolehan-kebolehan tersebut, pesawat-pesawat itu dibenarkan terbang dalam ruang angkasa ‘Reduced Vertical Separation Minima’ atau RVSM di mana jarak ketinggian antara sesebuah pesawat ialah 1,000 kaki berbeza dari jarak ketinggian ruang udara yang selalu dipraktikkan iaitu 2,000 kaki. Anakapal yang mengendalikan pesawat-pesawat tersebut juga adalah amat berkelayakan, seiring dengan pesawat-pesawat yang dikendalikan mereka dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa dunia penerbangan. Sehingga ke awal tahun 2008, jumlah keseluruhan pesawat yang dikendalikan oleh skuadron ini kekal empat.
