TEMA DAN LOGO SAMBUTAN HUT TUDM KE – 55 TAHUN 2013

LOGOFINAL_TUDM_5_3

1.         Penerangan Mengenai Tema.  Penerangan mengenai tema adalah seperti berikut:

a.         Frasa ini membawa maksud menguasai sesebuah teknologi adalah merupakan  elemen yang terpenting bagi memastikan sesebuah organisasi itu berupaya untuk melaksanakan peranannya dengan efektif dan efisien. Aspek penguasaan teknologi ini merangkumi kemampuan TUDM untuk membuat perolehan ke atas peralatan-peralatan yang berteknologi tinggi  memasuki ibentorinya, mengaplikasikan kecanggihan teknologi dalam operasi serta berkemampuan meningkatkan keupayaan melalui proses inovasi.   Selain itu, TUDM juga perlu untuk melakukan transformasi yang sistematik dan berinovatif untuk menuju sebuah angkatan yang dinamik dan juga berspektrum penuh melalui aktiviti perekayasaan proses kerja. Natijahnya, kejayaan sesebuah angkatan udara dalam menghadapi sebarang konflik adalah berkait rapat dengan kemampuan angkatan itu untuk menguasai sesebuah teknologi.

b.         Selain dari itu, warga TUDM juga perlu memainkan peranan dalam menukar pemikiran mereka agar dapat mempertingkatkan pengetahuan seiring dengan perkembangan teknologi itu sendiri.  Setiap peralatan baru yang dimiliki oleh TUDM memerlukan tenaga manusia yang mahir dan terlatih bagi mengoperasikannya. Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap dari warga TUDM untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan agar mereka lebih profesional dan cekap terutama semasa mengendalikan peralatan dan sistem yang berteknologi tinggi.

c.         Sehubungan dengan itu, bagi merealisikan hasrat untuk menjadi sebuah Kuasa Udara yang Unggul, TUDM perlu untuk menguasai teknologi dalam setiap aspek sama ada berkaitan bidang operasi, teknikal mahupun berkaitan bidang teknologi pengurusan.

2.         Penerangan  Mengenai Logo.  Penerangan mengenai Logo adalah seperti berikut:

a.         Jalur 3 warna yang melingkari nombor 55 adalah melambangkan Cakerawala (Galaxy), manakala tiga warna yang membentuk jalur ini, iaitu Biru Muda, Biru Tua dan Kuning mewakili organisasi TUDM, manakala angka 55 pula melambangkan usia TUDM sehingga kini (2013).  Kombinasi cakerawala dan tiga warna yang menghiasi jalur ini menunjukkan bahawa TUDM telah 55 tahun menguasai ruang angkasa negara untuk melaksanakan misinya, iaitu Mempertahankan kedaulatan dan keutuhan negara serta kepentingannya melalui penggunaan kuasa udara yang berkesan.

b.         Gugusan cakerawala diangkasa hanya boleh dilihat melalui penggunaan teknologi yang canggih dan berkeupayaan tinggi.  Lantaran itu, bagi menentukan TUDM sentiasa berada  dihadapan berbanding dengan angkatan udara serantau dalam memiliki kemampuan udara, penguasaan terhadap teknologi yang sentiasa berkembang dengan pantas adalah penting. Justeru itu, penguasaan teknologi terkini adalah merupakan strategi utama bagi memastikan TUDM sentiasa berupaya untuk melaksanakan peranannya dengan lebih efisien dan berkesan. Selain dari itu, keupayaan menguasai teknologi pertahanan terkini akan dapat membantu ATM untuk mencapai matlamat cegahrintang (deterence) yang digariskan dalam Dasar Pertahanan Negara.

 

//