PENDAHULUAN
Malaysia telah menjadikan tahun 2010 sebagai Tahun Inovasi dan Kreativiti. Penekanan kepada aspek inovasi dan kreativiti terutama di peringkat nasional amat penting kerana ia menggalakkan daya saing negara. Tahun Inovasi ini bukan sekadar slogan, namun pengertian inovasi amat luas dan perlu diterjemahkan dalam seluruh aspek kehidupan yang membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat.
Kerajaan telah menetapkan bahawa agenda transformasi negara hendaklah berpaksikan inovasi dan kreativiti. Sebagai peneraju agenda transformasi negara, Perkhidmatan Awam perlu memacu usaha-usaha terancang bagi kejayaan agenda transformasi merentasi semua sektor dalam negara. Langkah pertama ke arah merealisasikan matlamat ini adalah melalui proses pendekatan dan berteraskan ciri-ciri inovatif dan kreatif dalam Perkhidmatan Awam sendiri.
Sehubungan itu, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) telah mengeluarkan Panduan Peningkatan Budaya Inovasi Dalam Perkhidmatan Awam selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menggalakkan amalan-amalan inovatif dan kreatif yang menerangkan tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh Ketua-Ketua Jabatan bagi menggalakkan budaya inovasi dan kreativiti secara menyeluruh.
Bagi merealisasikan hasrat Kerajaan, Ketua Jabatan mempunyai peranan yang penting dalam menggalak dan menginstitusikan budaya inovasi di tempat masing-masing. Bagaimanapun inovasi yang dihasilkan bukan bertujuan untuk menyertai pertandingan atau mendapat pengiktirafan semata-mata. Sebaliknya tumpuan hendaklah diberi kepada galakan inovasi secara berterusan bagi meningkatkan budaya inovasi dalam perkhidmatan awam.
Perkembangan sesebuah organisasi banyak bergantung kepada tiga faktor utama, iaitu strategi, struktur dan budaya organisasi berkenaan. Strategi dalam konteks inovasi ialah mencari kaedah terbaik untuk mencapai matlamat organisasi. Melaluinya, usaha membudayakan inovasi dan kreativiti boleh diterapkan dalam kalangan pekerja organisasi agar setiap pekerja berkebolehan menjana idea baru untuk kesejahteraan rakyat keseluruhannya. Mungkin kita boleh katakan kejayaan organisasi seharusnya tidak lagi dinilai berdasarkan kepada program-program rutin seperti yang dilakukan setiap tahun. Sebaliknya, ukuran kejayaan kita perlu didasarkan kepada sejauhmana keupayaan kita memperkenalkan perubahan, idea-idea baru dan program-program baru yang menjurus kepada strategi yang dijalankan.
DEFINASI INOVASI
Inovatif berasal daripada perkataan Latin yang bermaksud pembaharuan iaitu kesan daripada aplikasi keupayaan kreatif khususnya dalam industri yang memerlukan konsep, idea, kaedah, proses dan kegunaan yang baru yang berupaya membuat pembaharuan atau mengubahsuai untuk menjadikannya lebih baik, elok, berkualiti dan sebagainya. Ianya juga adalah satu proses mengeluarkan idea yang dapat mengubahnya ke bentuk produk, perkhidmatan, sistem dan cara operasi yang baru. Dengan kata lain ia adalah satu cara menterjemahkan idea baru untuk dihasilkan melalui proses tertentu seperti rekacipta, pembangunan, pengeluaran dan sebagainya. Ia akan menjadi suatu inovasi jika idea tersebut benar-benar dapat digunakan dan dimanfaatkan sepenuhnya.
Inovasi dalam Perkhidmatan Awam adalah hasil cetusan idea-idea yang kreatif untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik sama ada melalui pengubahsuaian atau penambahbaikan. Hasil inovasi ini boleh merangkumi apa-apa perubahan kepada sistem, prosedur, kaedah dan/atau cara bekerja. Pelaksanaan hasil inovasi ini akhirnya dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan serta memberi faedah kepada pelanggan.
JENIS-JENIS INOVASI
Inovasi terdiri dari empat jenis iaitu:
KRITERIA 1: PENEMUAN
Pengeluaran suatu produk, jasa, atau proses baru yang belum pernah dilakukan sebelumnya. Konsep ini selalunya disebut Revolisioner. Contohnya; penciptaan telepon oleh Alexander Graham Bell.
KRITERIA 2: PENGEMBANGAN
Pengembangan suatu produk, jasa, atau proses yang sudah ada. Konsep seperti ini menjadi aplikasi idea yang sediada berbeza lebih baik dari sebelumnya. Contohnya pengembangan McD dan lain-lainnya.
KRITERIA 3: DUPLIKASI
Peniruan suatu produk, jasa, atau proses yang telah ada. Meskipun demikian duplication bukan semata-mata meniru melainkan menambah sentuhan kreatif untuk memperbaiki konsep agar lebih mampu memenangkan persaingan. Misalnya, duplikasi perawatan gigi oleh Dentaland.
KRITERIA 4: SINTESIS
Perpaduan konsep dan faktor-faktor yang sudah ada menjadi formulasi baru. Proses ini meliputi pengambilan sejumlah idea atau produk yang sudah ditemukan dan dibentuk sehingga menjadi produk yang dapat diaplikasikan dengan cara baru. Misal, sintesis pada arloji oleh Casio.
Oleh yang demikian pihak Kementerian akan meneruskan kesinambungan Pertandingan Anugerah Kualiti Kementerian Pertahanan yang diperkenalkan semenjak tahun 1993 dan mulai tahun 2010 Kementerian Pertahanan mengambil langkah untuk menggantikan pertandingan tersebut kepada Anugerah Inovasi.
OBJEKTIF ANUGERAH INOVASI.
a. Memberi pengiktirafan kepada hasil inovasi yang diperkenalkan oleh Jabatan / Bahagian / Cawangan / Markas/ Divisyen / Pangkalan / Briged / Pasukan / Unit.
b. Memupuk dan menyemarakkan budaya kreatif dan inovasi dalam cara bekerja yang diamalkan.
c. Memperkenalkan dan menyebarkan hasil-hasil inovasi yang boleh dicontohi untuk faedah agensi lain dan
d. Menyumbang kepada peningkatan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.
KATEGORI ANUGERAH INOVASI
Terdapat 5 kategori dalam AITUDM yang merangkumi kriteria-kriteria tersendiri berdasarkan kategori masing-masing iaitu:
- Inovasi Pengurusan Sumber Manusia
- Inovasi Pengurusan Projek Sistem/ Teknikal
- Inovasi Pengurusan Teknologi Maklumat
- Inovasi Pengurusan Kewangan
- Inovasi Pengurusan Pelanggan
PEMBUDAYAAN INOVASI
Pembudayaan inovasi dan kreativiti memerlukan kepada budaya organisasi yang bertitik tolak dari kefahaman penghayatan ilmu yang segar. Maka adalah menjadi kewajipan kepada pemimpin mahupun pengurus organisasi untuk melaksanakan penghayatan ilmu dalam kalangan kakitangannya untuk meningkatkan serta mengembangkan budaya inovasi tersebut. Ini bermakna setiap warga kerja organisasi mesti sentiasa berlumba-lumba untuk mendapatkan ilmu pengetahuan sebagai teras dalam menjayakan inovasi dan kreativiti. Organisasi akan menjadi lebih cekap, hebat dan efisien jika semua warga kerjanya mempunyai kemahiran sebagai nilai tambah seterusnya menjadi pemangkin kepada perubahan organisasi.
Selain itu, dalam membudayakan inovasi dan kreativiti ini, ukuran seperti budaya bekerja berpasukan dan melaksanakan mekanisme syura atau musyawarah adalah dilihat sebagai aspek penting dalam membantu organisasi cemerlang. Seharusnya medan bermesyuarat ini dapat mencungkil banyak idea baru dalam kalangan pekerjanya. Bukan itu sahaja, melalui perbincangan ini juga maka beberapa perkara baru juga dapat diterjemahkan dan diselesaikan dengan cepat dan mudah dalam organisasi.
Namun, keupayaan berfikir secara kreatif dan inovatif, memperkenalkan dan melaksanakan idea-idea baru tidak akan membawa sebarang manfaat sekiranya pekerja dalam organisasi yang berkaitan tidak memiliki nilai-nilai integriti yang tinggi. Konsep Integriti dalam bahasa yang mudah ialah memiliki keperibadian mulia yakni nilai-nilai yang unggul pada diri individu dan organisasi. Keperibadian mulia ini termasuklah sifat amanah, rajin, bertanggungjawab, menepati masa, berdisiplin dan semua sifat-sifat positif dalam diri seseorang individu. Ini bermakna nilai kreatif dan inovatif juga merupakan ciri-ciri integriti yang perlu dipupuk dalam oragnisasi seawal mungkin. Ini penting agar pekerja dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan baik.
Justeru itu bagi mencapai kecemerlangan organisasi, setiap anggota perlulah mengamalkan lima (5) ciri-ciri asas yang diringkaskan sebagai SIKAP iaitu:
a. Skill – Melaksanakan pengurusan yang sistematik dan mematuhi arahan dalam mengaplikasikan konsep dan kaedah secara berkesan.
b. Integriti – Melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan penuh kesungguhan serta minat yang tinggi.
c. Knowledge – Pengurusan pengetahuan yang cekap.
d. Attitude – Mempunyai nilai etika serta sikap yang tinggi lagi murni.
e. Prosedur – Memastikan prosedur dipatuhi dan mempunyai senarai semak/check list yang lengkap.
PRINSIP INOVASI TUDM
Terdapat 8 prinsip Inovasi TUDM yang mempunyai kefahaman yang jelas dalam usaha untuk melaksanakan Inovasi dengan betul dan berjaya. Prinsip-prinsip tersebut adalah seperti berikut:
a. Kita semua adalah sebahagian daripada proses.
b. Tahu keperluan dan tanggungjawab.
c. Meneruskan peningkatan berterusan.
d. Menggunakan kaedah proses penambahbaikan berstruktur.
e. Mengurangkan variasi.
f. Mengoptimumkan proses.
g. Melibatkan semua orang.
h. Mempunyai tujuan yang jelas.
TANGGUNGJAWAB PEGAWAI INOVASI
Pegawai Inovasi ini bertanggungjawab kepada Jawatankuasa Pemandu Inovasi (JKPI) TUDM dengan tugas-tugas seperti berikut:
a. Mengkoordinasikan semua aktiviti berkaitan Inovasi di Markas/Pangkalan/Unit masing-masing. (Contoh: Anugerah Inovasi, Kumpulan Inovatif dan Kreatif-KIK).
b. Bertindak sebagai pegawai perhubungan antara Markas/Pangkalan/Unit dengan Sekretariat JKPI.
c. Bertanggungjawab menentukan arahan dari JKPI dilaksanakan di Markas/Pangkalan/Unit masing-masing.
d. Bertanggungjawab melaporkan semua perkembangan aktiviti berkaitan Inovasi kepada Komander Pangkalan untuk tindakan susulan jika perlu.
e. Bertanggungjawab dalam memajukan perkembangan laporan penulisan Anugerah Inovasi kepada Sekretariat JKPI pada masa yang ditetapkan sekiranya Markas/Pangkalan/Unit sendiri dicalonkan.
f. Bertanggungjawab melaksanakan aktiviti Hari Inovasi TUDM apabila diarahkan oleh JKPI.
g. Mengkoordinasi penyertaan dari Markas/Pangkalan/Unit masing-masing dengan Sekretariat JKPI sekiranya dicalonkan ke pertandingan Anugerah Inovasi Kementerian Pertahanan (AIKP).
h. Mewakili Markas/Pangkalan/Unit di dalam melaksanakan ‘Post Mortem’ Anugerah Inovasi peringkat TUDM mahupun peringkat Kementerian Pertahanan sekiranya dijemput oleh Sekretariat JKPI.
HALATUJU INOVASI TUDM
Untuk menghasilkan perkhidmatan dengan mutu yang terbaik kepada stakeholder, semua peringkat pengurusan dan pelaksana perlulah berusaha secara berterusan untuk menerapkan budaya kerja berinovatif di kalangan anggota. Secara holistik, budaya inovasi yang diterapkan ini bukan terbatas kepada kemudahan dan peralatan yang disediakan, tetapi pembentukan minda anggota yang sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan yang menjangkaui ekspektasi organisasi.
Komitmen untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada Stakeholderini dapat diterjemahkan dalam setiap urusan dalam bentuk layanan, kemudahan dan prosedur. Mengaplikasikan hasil inovasi ini merupakan satu transformasi yang terbaik untuk TUDM, malah seharusnya diperluaskan kepada semua agensi kerajaan yang menawarkan perkhidmatan yang serupa. Ia juga dapat meningkatkan tahap produktiviti organisasi serta penjimatan besar dalam kos tenaga manusia dan peralatan.
KESIMPULANNYA
Pembudayaan inovasi dan kreativiti dalam organisasi adalah penentu utama bagi mewujudkan pembaharuan pentadbiran yang inovatif, kreatif dan cekap untuk terus bergerak maju ke hadapan di samping melonjakkan negara ke peringkat lebih tinggi supaya dapat bersaing dengan negara maju.
