No 20 Skn
Sejarah
Pada 1 September 1976, keperluan sebuah Skuadron Maritim telah pertama sekali dibincangkan di Mesyuarat Chief of Armed Forces Standing Committee (CAFSC) yang ke- 140. Setelah segala keperluan dipersetujui, tiga buah pesawat baru iaitu jenis C130H-MP telah dibeli dari Syarikat Lockhead Martin, Amerika Syarikat. Pesawat ini telah diubahsuai untuk menjalankan tugas-tugas maritim. Pegawai pertama yang dipertanggungjawabkan untuk mengetuai skuadron ini ialah Lt Kol (U) Ali Wayat dengan mempunyai 14 anak kapal yang ditukarkan dari No 14 Skn.
Kumpulan pertama ini juga bertanggungjawab untuk membawa pulang dua buah pesawat C130H-MP lagi dan telah mendarat di TUDM Kuala Lumpur pada 9 Mei 1980 dan diikuti pesawat ketiga pada 28 Oktober 1980.
Tugas Utama
Tugas utama skuadron ini ialah untuk membuat penerbangan maritim dan memberi isyarat awal (early warning) ke atas semua pergerakan di permukaan laut di dalam EEZ (Zon Ekonomi Eksklusif) negara. Ini termasuklah pengumpulan maklumat ke atas sasaran penting (Targets of Interest).
Tugas-tugas Lain
Lain-lain tugas termasuklah penerbangan mencari dan menyelamat (SAR), mengesan bencana-bencana di perairan negara, bantuan logistic dan pengangkutan kecemasan, penerbangan orang kenamaan (VIP), pergerakan tentera, penerbangan seberang laut, peperangan anti kapal selam, memasang ranjau (mine laying) dan juga penerbangan untuk latihan anakapal.
Memandangkan peranan serta tugas-tugas skuadron yang mencabar, ditambah pula oleh kesesakan pesawat di TUDM Kuala Lumpur, pada 1 Disember 1980, skuadron ini dengan rasminya telah dipindahkan ke TUDM Kuantan. Apabila TUDM Subang telah siap sepenuhnya, skuadron ini telah sekali lagi berpindah ke pangkalan baru pada 6 Disember 1985.
Lima lagi pesawat C130H-30R (stretched version) yang bernilai RM450 juta telah dibeli pada 1995 untuk tugas pengangkutan udara strategik. Dua buah pesawat pertama telah mendarat di TUDM Subang pada 12 November 1995 yang diterbangkan terus dari Atlanta, Georgia dan dikendalikan sendiri oleh Panglima Tentera Udara pada ketika itu iaitu Lt Jen Datuk Seri Abdul Ghani Aziz TUDM. Pesawat ini dikenali sebagai Super Hercules adalah 4.75 meter lebih panjang dari pesawat biasa.
Dua buah lagi pesawat mendarat pada 28 November 1995 dan yang terakhir pada 8 Disember 1995. Kesemua pesawat ini diterbangkan oleh anak kapal C130H dari No 4 dan No 14 Skn. Lima pesawat ini juga telah digunakan untuk membantu Pasukan Atur Cepat (PAC) atau Rapid Deployment Force (RDF) yang telah ditubuhkan serentak pada 10 Oktober 1995 dengan perolehan pesawat ini dalam menjalankan tugas pengguguran anggota dan peralatan bagi operasi dan latihan.
Pada tanggal 1 November 1997, No 4 Skuadron telah digabungkan dengan sebuah lagi skn yang baru dan dikenali sebagai No 20 Skuadron. Skuadron ini menjalankan operasi di TUDM Subang sehingga kini.
Antara latihan yang dijalankan dengan PAC khususnya 10 Briged para ialah “Eksesais Halilintar”, “Angkasaraya”, dan juga “Kanopi Kenyalang”. Pesawat ini juga ditugaskan untuk tugas operasi seperti membantu mengangkut anggota dan peralatan ATM bagi misi Bangsa-Bangsa Bersatu khususnya di Bosnia, Somalia dan Kemboja.
Setelah memperolehi lima buah pesawat baru ini, dua buah pesawat C130H-MP iaitu M30-07 dan M30-08 telah diubahsuai untuk menjalankann tugas pengisian minyak di udara (Air to Air Refueling – AAR) pada tahun 1996. Ini adalah untuk memberi bantuan pengisian minyak bagi pesawat pejuang yang juga baru dibeli iaitu MIG-29N, Hawk dan F/A-18. AAR adalah tugas yang terbaru diberikan kepada Skuadron “Charlie”.
Setelah lebih 25 tahun pesawat C130H diperkenalkan kepada TUDM, berbagai-bagai jenis tugas dan latihan telah dilaksanakan dengan jayanya sehingga ke hari ini.
