No 11 Skn
Sejarah skuadron ini bermula di TUDM Butterworth dengan penggunaan 10 buah pesawat Avon CA-27Sabre bermula pada Oktober 1969. Setelah berkhidmat dengan cemerlang selama enam tahun, maka pesawat ini telah ditamatkan perkhidmatan pada Ogos 1975 serentak dengan penutupan skuadron. Pegawai Memerintah sepanjang tempoh ini ialah Sqn Ldr Quek S L, Sqn Ldr Jaafar dan Sqn Ldr Zainuddin
Pada bulan Jun tahun 1983, skuadron ini telah diaktifkan semula. Sesuai dengan perkembangan dunia pertahanan udara seluruh dunia yang bergerak pantas, Skuadron ini telah dilengkapkan dengan 9 buah pesawat F5 (Northon Grumman). Pecahan spesifikasi pesawat adalah 4 buah pesawat F-5E (Pejuang), 3 buah pesawat F-5F (Latihan) dan 2 buah pesawat RF-5E (Peninjau). Dengan peralatan dan pesawat berteknologi tinggi ini, No 11 Skn telah beroperasi sehingga tahun 1993.
Tahun 2007 menyaksikan Malaysia muncul sebagai satu kuasa udara digeruni apabila memilih untuk mendapatkan khidmat pesawat Su-30MKM buatan Russia. Kumpulan pertama terdiri dari 2 buah pesawat Su-30MKM telah tiba di Pangkalan Udara Gong Kedak pada 19 Jun 07 dan menerima kesemua 18 buah Su-30MKM pada 16 Jun 09. Pesawat ini merupakan pesawat pelbagai guna tercanggih sedang digunakan di Asia Tenggara dan No 11 Skuadron amat berbangga apabila dipertanggungjawapkan untuk mengendalikan pesawat pelbagai guna ini. Malaysia merupakan satu-satunya negara yang menggunakannya di rantau ini dan amat bersesuaian dengan peranan No 11 Skuadron iaitu bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas pertahanan tangkisan udara, serangan tangkisan udara, serangan strategik, serangan penggempur, serangan udara ke bumi, serangan maritim dan juga melatih juruterbang, jurusensor senjata dan juruteknik pesawat Su-30MKM.
