No 1 Skn
Sejarah
No 1 Skn telah ditubuhkan pada tahun 1958 dengan menggunakan pesawat DHC Caribou yang telah dihadiahkan oleh Negara Kanada. No 1 Skn menggunakan motto YANG PERTAMA kerana telah menjadi Skn yang pertama ditauliahkan di dalam TUDM. Skn ini pada mulanya telah beroperasi di Pangkalan Udara Kuala Lumpur sebelum ianya dipindahkan ke Pangkalan Udara Labuan bagi menyokong operasi Angkatan Tentera Malaysia di Zon Sabah dan Sarawak. Kemudian ianya sekali lagi dipindahkan ke Pangkalan Udara Kuching.
Disebabkan kesukaran untuk mendapatkan alat ganti pesawat, ditambah pula dengan kekerapan kemalangan yang melibatkan pesawat ini, TUDM telah mengambil keputusan untuk menghentikan perkhidmatan pesawat Caribou pada tahun 1998 tanpa penggantian pesawat baru.
Pesawat DHC Caribou Yang Pernah Menjadi Pesawat Angkut Utama TUDM
Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk mencari penggantian bagi pesawat Caribou bagi melakukan penugasan Pesawat Pengangkut Pelbagaiguna Sederhana bagi menyokong fungsi dan keperluan pesawat C130 yang boleh digunakan secara intensif. Pesawat CN235-220M, buatan IPTN Indonesia telah terpilih untuk menggantikan pesawat Caribou. Pada awal tahun 1999, sebanyak 3 buah pesawat CN235 kumpulan pertama telah diterima dan dioperasikan di Pangkalan Udara Subang. Pesawat ini beroperasi di bawah No 21 Skn dengan motto CEKAL MERINTIS.
Pesawat CN235-220M
Jumlah pesawat di No 21 Skn ditambah lagi dengan ketibaan pesawat kumpulan kedua sebanyak 3 buah pada penghujung tahun 1999. Kerajaan Malaysia sekali lagi telah bersetuju untuk menambah pesawat CN235 dengan pembelian pesawat CN235 konfigurasi VIP dan telah tiba di Pangkalan Udara Subang pada tahun 2005. Sejak dari itu, No 21 Skn telah beroperasi di Pangkalan Udara Subang dan juga Pangkalan Udara Kuching. No 21 Skn di Pangkalan Udara Kuching dikenali sebagai Detasmen No 21 Skn.
Detasmen No 21 Skn ditempatkan di Pangkalan Udara Kuching memandangkan tugas pesawat ini juga diperlukan di kawasan Malaysia Timur. Namun, hanya sebuah pesawat sahaja ditempatkan di PU Kuching memandangkan keperluan pesawat tersebut.
Pada tahun 2006, Kerajaan Malaysia telah bekerjasama dengan Syarikat SAPURA Defense Sdn Bhd untuk memperoleh sebuah bangunan Simulator Penerbangan bagi pesawat CN235. Ianya telahpun beroperasi pada bulan Mei 2006 dan ditempatkan di bawah No 1 Skn. Pusat Latihan ini bertanggungjawab dalam mengendalikan latihan berhubung dengan pesawat CN235 dan merupakan aset yang amat penting kepada TUDM di mana sebelum ini kesemua juruterbang CN235 mendapat latihan di Pusat Simulator Surabaya, Indonesia. Melalui latihan simulator ini, para juruterbang diberi latihan penerbangan awal yang melibatkan kursus-kursus peralihan pesawat.
Pada 13 Mac 2006, MTU-BSM (Sel Perjawatan) telah mengeluarkan perintah Penubuhan Perjawatan Penyusunan Semula Struktur Organisasi No 1 Skn dan semenjak itu, No 21 Skn dikenali sebagai No 1 Skn dan diberi penugasan sebagai Unit Pengangkut Udara Jarak Sederhana dan beroperasi di PU Kuching dilengkapi denganpesawat CN235, pesawat VIP serta sebuah Pusat Latihan Simulator CN235. Walaubagaimanapun, hanya sebuah pesawat dioperasikan dari PU Kuching dan selebihnya dioperasikan di Detasmen No 1 Skn di PU Subang.
Aset Pegangan
Pesawat DHC Caribou (telah dilucutkan tauliah).
Pesawat CN235-220M Pelbagai Guna
Pesawat CN235-220M VIP
Jasa Dan Kejayaan
No 1 Skn telah terlibat sepenuhnya semasa Darurat Ke-2 membantu operasi Angkatan Malaysia menentang Pengganas Komunis
Semasa Konfrantasi antara Malaysia dan Indonesia, No 1 Skn telah terlibat di dalam operasi bagi menghantar bekalan dan bantuan anggota tentera ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak kerana kemampuan pesawat Caribou yang mampu dioperasikan di kawasan padang berumput dan di landasan lapangan terbang pendek
Pesawat CN235 juga telah terlibat dengan bantuan kemanusiaan di Acheh selepas bencana tsunami melanda negara tersebut pada penghujung tahun 2004
Pada tahun 2006, pesawat CN235 juga telah berjaya membuat penerbangan jarak jauh ke Royal Air Force International Air Tatto yang diadakan di Fairford Air Force Base di United Kingdom
Penerbangan Ikhsan Pemindahan Jantung dan Organ dari penderma di Hospital Alor Setar dan Hospital Johor Bahru ke Institut Jantung Negara juga telah dilaksanakan dengan jayanya pada bulan September 2007.
Peranan
Penerbangan Komunikasi.
Penerbangan Kargo
Penerbangan Medivac
Penerbangan Bodevac
Penerbangan Penerjunan Statik dan Bebas
Penerbangan Rondaan Maritim
Penerbangan Mencari dan Menyelamat Terhad


