JENERAL TAN SRI DATO’ SRI RODZALI BIN DAUD
PGAT PSM PJN SSAP SIMP SPTS DGPN PSAT DIMP PAT SMT KMN AMP PJM PPS PPA MSc (QAU) MA (UKM) ndc mpat psc jt TUDM
Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM telah dilahirkan di Besut, Terengganu pada 11 Mac 1955. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Tengku Mahmood, Besut dan peringkat menengah di Maktab Tentera Diraja. Selepas menamatkan latihan Pegawai Kadet, beliau telah ditauliahkan sebagai Juruterbang pada 31 Oktober 1973.
Beliau telah menjalani kursus asas dan lanjutan penerbangan di Australia pada tahun 1974 dan seterusnya menyandang jawatan Juruterbang di Skuadron No.6 (menerbangkan Tebuan CL-41G) dan Skuadron No. 12 (menerbangkan F-5E). Antara pengalaman awal beliau sebagai pegawai memerintah termasuk menyandang jawatan Pemangku Komandan Pusat Latihan Terbang 3 (menerbangkan PC 7 and Aermacchi MB 339A), Pegawai Memerintah Skuadron No. 12 (menerbangkan pesawat F 5) dan Skuadron No. 17 (menerbangkan MiG 29N). Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Komander Pangkalan Udara Kuantan.
Sepanjang perkhidmatan, beliau turut menyandang berbagai tugas pengurusan dan pentadbiran di luar negara semenjak tahun 1988. Jawatan yang pernah disandang adalah Pegawai Staf di Air Defence Command, Ketua Tim Projek MiG 29N dan Penasihat Pertahanan di Moscow. Sebelum menyandang jawatan sekarang, beliau pernah menyandang jawatan antaranya Panglima Operasi Udara, Panglima No. 1 Divisyen Udara, Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, serta Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan.
Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM merupakan graduan Air Command and Staff College New Zealand pada tahun 1989, Maktab Pertahanan Angkatan Tentera pada tahun 2002 (Masters in Defence Studies dari Universiti Kebangsaan Malaysia), Pakistan National Defence (Masters Degree in Strategic Studies dari Quaid-i-Azam University) pada tahun 2006.
Atas sumbangan dan jasa bakti yang telah dicurahkan kepada negara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM telah dikurniakan dengan beberapa anugerah antaranya, Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT), Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri, Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong, Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri, Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang mana kedua-duanya membawa gelaran Dato’ oleh DYMM Sultan Pahang, Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) yang membawa gelaran Dato’ Seri Panglima oleh DYMM Sultan Perak, Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Dato’ Seri oleh Tuan Yang Terutama Pulau Pinang, Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT) dan Pahlawan Angkatan Tentera (PAT) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong.
Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM mendirikan rumahtanggga dengan Puan Sri Datin Sri Asnah binti Din serta dikurniakan dua orang cahayamata lelaki. Pada masa lapang, beliau gemar membaca di samping melancong dan bermain golf.