PASKAU

PASKAU

LOGO JUGRAREJIMEN TUDM

Rejimen TUDM adalah sebuah pasukan yang berkeupayaan dan di pertanggungjawabkan bagi tugas-tugas combat dan combat support bagi meningkatkan  keupayaan TUDM dalam pelancaran operasi udara.  Penwujudan Rejimen TUDM adalah sebagai force enhancement  terutama di dalam operasi, operasi khas serta mencari dan menyelamat.

Selain dari itu, Rejimen TUDM juga berupaya memberi perlindungan khas kepada aset-aset TUDM yang beroperasi di pangkalan udara hadapan TUDM.

KONSEP PENUBUHAN.  Rejimen TUDM adalah sebuah Pasukan Khas yang dikendalikan oleh anggota-anggota yang terlatih secara khas dan mempunyai peralatan yang khas bagi penugasan yang sukar dilaksanakan oleh elemen-elemen tentera biasa.

SALURAN PEMERINTAHAN. Pegawai Memerintah Rejimen TUDM bertanggungjawab terus kepada Panglima Operasi Udara dalam semua aspek pengoperasian dan pentadbiran.

AM

BANGUNAN JUGRA 1

Rejimen TUDM Jugra adalah terletak di Daerah Kuala Langat yang merupakan salah satu lokasi bersejarah Negeri Selangor sejauh 6 km dari Bandar Banting dan lebih kurang 80 km dari Kuala Lumpur.  Ianya terletak Jalan Sultan Sulaiman Shah seluas 49.9 ekar (20.23 hektar).

Disamping itu, pantai peranginan Morib terletak lebih kurang 15 minit perjalanan dari pangkalan ini yang menjadi tumpuan orang ramai sepanjang tahun.  Unit ini adalah merupakan sebuah unit Pasukan Khas TUDM atau PASKAU.

Lokasi TUDM Jugra:

  • Banting        –     6 km
  • Morib           –   10 km
  • KL               –   86 km
  • Klang           –   38 km
  • KLIA           –   35 km
  • Putrajaya      –   45 km
  • Cyberjaya   –   40 km

SEJARAH AWAL

JUGRA 2

Susulan dari peristiwa pesawat Caribou yang dimusnahkan oleh tembakan bom Meriam Mortar anggota PKM (Parti Komunis Malaya) di TUDM Kuala Lumpur pada Mei 1975, TUDM mula merancang untuk mempunyai pasukan keselamatan sendiri dan pertahanan darat bagi pangkalannya.

Kabinet bersetuju dengan cadangan TUDM untuk menubuhkan pasukan keselamatan dan pertahanan pangkalan (HANDAU) pada 1 Apr 1980. HANDAU ditubuhkan dengan skuadron yang pertamanya iaitu Skn 102 HANDAU mengambil alih tugas Kor Polis Tentera di TUDM Kuala Lumpur.

  • 1 Apr 1980            –          Skn 102 HANDAU (TUDM Kuala Lumpur
  • 18 Nov 1980        –          Skn 103 HANDAU (TUDM Kuantan
  • 10 Jan 1981          –          Skn 104 HANDAU (TUDM Butterworth)
  • 9 Feb 1981            –          Skn 202 HANDAU (TUDM Ipoh)
  • 7 Apr 1981            –          Skn 105 HANDAU (TUDM Kuching)
  • 7 Jul 1981              –          Skn 107 HANDAU (TUDM Alor Setar)
  • 6 Ogos 1981          –          Skn 109 HANDAU (DEBKAT Subang)
  • 19 Ogos 1981        –          Skn 204 HANADAU (TUDM Kluang)
  • 27 Ogos 1987        –          Skn 201 HANDAU (TUDM Bukit Jugra)
  • 1 Sep 1987            –          Skn 208 HANDAU (TUDM Subang)
  • 1 Mac 1993           –          Skn 106 HANDAU (TUDM Labuan)

Titik permulaan penubuhan Rejimen TUDM adalah dengan kewujudan Markas Rejimen (MAREJ) pada 1 Apr 1980. MAREJ bertanggungjawab terus kepada Markas Tentera Udara (MTU) bagi semua urusan pengoperasian skn-skn HANDAU ketika itu. Pada 1 Feb 1984, MAREJ telah dipindahkan ke Pangkalan TUDM Kuantan dan kemudiannya pada 15 Dis 1987, MAREJ ditempatkan semula di Pangkalan TUDM Kuala Lumpur.

JUGRA 3

Ketika penstrukturan TUDM  pada 1 Jun 1993, MAREJ  dengan keanggotaan seramai 4 Pegawai dan 8 Lain-lain Pangkat telah distrukturkan menjadi satu unit yang mempunyai peranan yang berkaitan dengan keselamatan Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) dan juga telah menjurus kepada penubuhan dan perlaksanaan operasi khas khususnya operasi menyelamat tempur udara (Combat Air Rescue – CAR) dan pasukan gerak cepat (Rapid Deployment Force – RDF).

Pada tahun 1999, peranan Rejimen TUDM dikaji semula bagi menjadikannya sebagai sebuah organisasi pasukan khas bagi TUDM.  Sehubungan dengan itu juga pada 2 Jan 2002, Rejimen TUDM mula beroperasi  dan mempunyai sebuah pangkalannya sendiri di Pangkalan TUDM Jugra.  Peranan-peranan baru yang berkaitan dengan operasi khas  telah diperakukan oleh JPP yang bersidang  dalam mesyuaratnya yang ke-329, manakala perjawatannya pula diluluskan pada 1 April 2002.

PERANAN

JUGRA PERANAN 4

Berlandaskan kepada penubuhan perjawatan, Rejimen TUDM telah dipertanggungjawabkan dengan peranan-peranan seperti berikut:

  • Tugas penanda sasaran (Target Designation) dan sabotaj dengan menyusup ke kawasan operasi di barisan belakang musuh serta sasaran-sasaran pertahanan udara musuh.
  • Perlindungan keselamatan ke atas aset-aset TUDM yang beroperasi di luar pangkalan termasuk pesawat dan komponen-komponen yang berkaitan.
  • Tugas penyelamat tempur (CAR) semasa aman, tegang (hostile) dan darurat di lokasi yang disasarkan.
  • Melaksanakan tugas istiadat kawalan kehormatan TUDM.
  • Mengendali latihan-latihan kepakaran di dalam lapangan yang berkaitan dengan tugas-tugas operasi pasukan khas.

 

MISI & VISI

JUGRA MISI DAN VISI

Selaras dengan Misi dan Visi yang ditetapkan oleh TUDM dan MOU, Rejimen TUDM sebagai sebuah pasukan khas TUDM telah menetapkan misi seperti berikut:

MISI

“MELAKSANAKAN OPERASI KHAS YANG DITUGASKAN (ASSIGNED) BERLANDASKAN KEPADA PERANAN-PERANANNYA DENGAN SECARA BERKESAN”

VISI

“PASKAU AKAN MENJADI SATU PASUKAN KHAS DENGAN MEMPUNYAI KEUPAYAAN OPERASI DAN PROFESIONALISME YANG TINGGI YANG BOLEH DIBANGGAKAN OLEH TUDM”

WAWASAN

Rejimen TUDM menetapkan dua aspek penjanaan ke arah untuk mencapai wawasan. Aspek pertama ialah membentuk Rejimen TUDM untuk menjadi satu organisasi yang ‘credible’. ‘Credible’ bermaksud  satu organisasi yang berwibawa atas ciri-ciri kepakaran dan keupayaannya yang luar biasa yang berkaitan dengan peranan dan fungsinya. Manakala aspek yang kedua ialah menjana Rejimen TUDM ke arah Keupayaan Misi (Mission Capable) dengan secara berkesan. Pada masa akan datang, ianya dijangka mempunyai keupayaan yang lengkap dan mencukupi untuk melaksanakan misi operasi khas dengan berkesan dalam persekitaran teknologi terkini.  Bagi mencapai matlamat tersebut, Rejimen TUDM telah menggariskan hala tujunya dengan wawasan seperti berikut:

 “REJIMEN TUDM AKAN MENJADI SATU PASUKAN KHAS DENGAN MEMPUNYAI KEUPAYAAN OPERASI DAN PROFESIONALISME YANG TINGGI YANG BOLEH DIBANGGAKAN OLEH ATM”

OBJEKTIF

JUGRA OBJEKTIF

Untuk memastikan Misi Rejimen TUDM tercapai, organisasi Rejimen TUDM telah dibentuk untuk memenuhi objektif-objektif  seperti berikut :

  • Menjadikan Rejimen TUDM sebagai sebuah pasukan yang berkeupayaan tinggi untuk memainkan peranan-peranan yang telah dipertanggungjawabkan dengan cekap dan berkesan.
  • Menentukan penugasan anggota yang berkelayakan untuk melaksanakan tugas-tugas pengkhususan dalam Rejimen TUDM.
  • Menggunakan peralatan yang sedia ada secara optimum bagi memenuhi keperluan dan keupayaan operasi di samping berusaha memperoleh peralatan-peralatan berteknologi tinggi selaras dengan peranan yang dipertanggungjawabkan.
  • Bersedia mengurus, menghasilkan dan mengekalkan sumber tenaga manusia yang berkualiti, berkeupayaan tinggi yang sentiasa dalam kesiapsiagaan operasi.
  • Memupuk semangat setia kawan di kalangan anggota dengan harapan akan sentiasa memelihara moral, etika dan semangat juang pasukan di tahap yang tinggi.

ORGANISASI

Setelah setahun beroperasi, satu kajian tentang kesesuaian peranan berasaskan organisasi dan peranan yang dipertanggungjawabkan telah dilaksanakan di peringkat unit.  Pada 2 Ogos 2003, sedikit rombakan dan penyusunan semula organisasi Rejimen TUDM telah dibuat lebih menjurus kepada pencapaian objektif Rejimen TUDM sebagai sebuah pasukan khas secara efektif.

PERANAN UTAMA

  • Melaksanakan operasi menyelamat tempur udara (Combat Air Rescue – CAR) semasa aman, tegang (hostile) dan darurat di lokasi yang disasarkan.
  • Melaksanakan operasi menyelamat maritim (Maritime Para Rescue – MPR) dengan cara digugurkan dari udara bersama-sama ADRHIB (Air Droppable Rigid Hull Inflateable Boat) dan CRRC (Combat Rubber Rescue Craft)  bagi menyelamatkan juruterbang, penumpang dan pesawat yang terhempas di kawasan perairan negara atau musuh semasa aman, tegang dan darurat.
  • Melaksanakan tugas sebagai pasukan penggempur negara dalam operasi melawan keganasan (counter terrorist) khususnya yang melibatkan pesawat udara negara atau ATM sama ada di  dalam atau di luar negeri sekiranya dirampas oleh pihak pengganas atau sebarang anasir yang tidak diingini.
  • Melaksanakan operasi menanda sasaran menggunakan laser (laser target designator) bagi membantu pesawat pejuang TUDM memusnahkan aset-aset pertahanan udara musuh dengan menyusup ke kawasan operasi di belakang barisan hadapan musuh.
  • Melaksanakan operasi sabotaj secara mandiri untuk memusnahkan aset-aset pertahanan udara dan sasaran penting musuh dengan menyusup masuk sama ada melalui pengguguran payung terjun atau melalui darat jauh ke dalam wilayah musuh.
  • Memberikan perlindungan khas (special protection) ke atas aset-aset TUDM yang beroperasi di luar pangkalan (Foward Operation Base – FOB) termasuk tugas-tugas operasi anti keganasan yang diperlukan dari masa ke semasa.

Mengendali latihan-latihan kepakaran di dalam lapangan yang berkaitan dengan tugas-tugas berikut:

  • Operasi Khas Udara
  • Menyelamat Tempur Udara
  • Payung Terjun
  • Melaksanakan tugas istiadat Kawalan Kehormatan TUDM.

KOMITMEN PASKAU

PASKAU

“KAMI ANGGOTA PASKAU KOMITED UNTUK MENJADI ANGGOTA PASUKAN KHAS YANG SENTIASA MENGEKALKAN PROFESIONALISME, BERKETRAMPILAN DAN BERDAYA SAING DI SAMPING BERUPAYA MENJADI ANGGOTA YANG ‘FLEXIBLE, ADAPTABLE, RESPONSIVE, PRO-ACTIVE’ SERTA MAMPU MEMAHAMI DAN MELAKSANAKAN MISI OPERASI KHAS DENGAN BERKESAN”