Pangkalan Udara Subang
Latar Belakang

Dengan peranan tugas dan tanggungjawab yang semakin pesat serta mencabar, pihak TUDM melihat perkembangan ini sebagai suatu asas yang menuju kearah positif. Peningkatan tugas yang dipohon kepada TUDM untuk menjalankannya, membuatkan TUDM merasakan adalah menjadi keperluan untuk membina satu lagi pangkalan udara yang baru serta serba lengkap bagi menangani keperluan tersebut. Ekoran dari itu pihak kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan penubuhan satu lagi pangkalan udara iaitu Pangkalan Udara Subang yang mana pada asalnya dikenali sebagai TUDM Subang. Pangkalan ini telah dibina di satu kawasan ladang kelapa sawit yang berlembah berhadapan dengan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.
Secara amnya, ia ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1985. Tujuan pangkalan ini dibina adalah untuk menggerakan operasi Maritime Ops dan Tactical Airlift, yang diketuai oleh seorang pegawai berpangkat Lt Kol (U). Pada 3 Disember 1986, jawatan Ketua Detasmen ini telah dinaik taraf kepada Pegawai Memerintah. Jawatan ini kemudiannya telah ditukarkan kepada Komander Pangkalan mulai tahun 2003.
Sejarah bermula dengan terdidirinya bangunan MATRA dan hangar No 4 Skn. No 4 Skn adalah skuadron yang pertama beroperasi di pangkalan ini setelah dipindahkan operasinya dari TUDM Kuantan ke TUDM Subang untuk melaksanakan penerbangan maritim dengan menggunakan pesawat PC-130, seterusnya diikuti oleh No 14 Skn yang menempatkan pesawat pengangkut C-130. Pada tahun 1991, No 2 Skn telah dipindahkan dari TUDM Kuala Lumpur ke TUDM Subang bagi menempatkan pesawat-pesawat VVIP/VIP. Pada 1994 No 16 Skn telah diwujudkan dan menempatkan pesawat B200T iaitu Skn Maritim. Pada 1999 No 21 Skn telah ditubuhkan dengan menggunakan perjawatan No 1 Skn dan menempatkan pesawat CN-235 yang dibeli dari Indonesia
Senarai Peneraju Pangkalan
Ketua Detasmen yang pertama ialah Lt Kol (U) Othman bin Sulan dan Pegawai Memerintah yang pertama ialah Lt Kol (U) Chia Chan Sing manakala Komander Pangkalan yang pertama ialah Kol Fadhil bin Sheikh Ahmad TUDM adalah senarai nama Pegawai-Pegawai Kanan yang pernah memegang jawatan Pegawai Memerintah Pangkalan Subang:
Ketua Detasmen Pangkalan Udara Subang
| Lt Kol (U) Othman bin Sulan | 01 Ogo 85 – 01 Jan 86 |
| Lt Kol (U) Chia Chan Sing | 02 Jan 86 – 02 Dis 86 |
Pegawai Memerintah Pangkalan Udara Subang
| Lt Kol (U) Chia Chan Sing | 03 Dis 86 – 30 Jun 87 |
| Kol (U) T. Parameswaran | 01 Jul 87 – 30 Apr 91 |
| Kol Hussein bin Supian TUDM | 01 Mei 91 – 09 Jun 93 |
| Lt Kol Abu Hashim bin Mohd Ali TUDM | 10 Jun 93 – 09 Jan 95 |
| Lt Kol Hanif bin Hj Darmi TUDM | 10 Jan 95 – 13 Jun 95 |
| Lt Kol Abu Hashim bin Mohd Ali TUDM | 14 Jun 95 – 14 Mei 96 |
| Lt Kol Ranjit Singh Gill TUDM | 15 Mei 96 – 08 Dis 96 |
| Kol Abu Hashim bin Mohd Ali TUDM | 09 Dis 96 – 24 Jul 97 |
| Lt Kol Othman bin Abdullah TUDM | 25 Jul 97 – 28 Sep 97 |
| Kol Hj Yahya bin Hj Bidin TUDM | 29 Sep 97 – 30 Jun 99 |
| Kol Abu Hashim bin Mohd Ali TUDM | 01 Jul 96 – 09 Okt 00 |
| Kol Khairul Badri bin Mustaffa TUDM | 10 Okt 00 – 31 Jan 03 |
Komander Pangkalan Udara Subang
| Kol Fadhil bin Sheikh Ahmad TUDM | 01 Feb 03 – 01 Jan 05 |
| Kol Roslan bin Saad TUDM | 19 Jan 05 – 09 Feb 07 |
| Kol Tuan Mustapha bin Tuan Hussin TUDM | 09 Feb 07 – 20 Sep 07 |
| Kol Hj Ramlan bin Kasbi TUDM | 21 Sep 07 – 04 Nov 07 |
| Kol Azizon bin Hj Ariffin TUDM | 05 Nov 07 – 11 Ogo 09 |
| Kol Wan Normazlan bin Che Jaafar TUDM | 12 Ogo 09 – 28 Mac 11 |
| Brig Jen Hj Wan Normazlan bin Che Jaafar TUDM | 29 Mac 11 – 21 Mac 12 |
| Kol Hj Romlee bin Yahaya TUDM | 22 Mac 12 – 07 Mei 12 |
| Brig Jen Azizon bin Ariffin TUDM | 07 Mei 12 – Sekarang |
Misi Pangkalan
Misi Pangkalan ialah `Komited’ memberikan perkhidmatan pengangkutan udara dan bantuan perkhidmatan yang berkualiti kepada semua pelanggannya supaya mereka mampu mencapai keperluan operasi yang berkesan.
Objektif Pangkalan
- Memenuhi permintaan perkhidmatan pengangkutan udara semaksima yang boleh dengan memastikan tahap kesiapsiagaan pesawat sentiasa ditahap maksima.
- Mempertingkatkan tahap dan mutu perkhidmatan sejajar dengan keperluan pelanggan dan TUDM.
- Menanam kerja berkualiti dikalangan semua peringkat anggota.
- Mengurus dan membangunkan sumber tenaga manusia dan aset udara yang diberikan kearah pencapaian matlamat kecemerlangan perkhidmatan.
- Membangunkan fasilitas dan infrastruktur yang digunakan untuk menyokong operasi pangkalan ini dengan menitik beratkan kepada peningkatan kualiti kerja hidup dan kebajikan setiap warga TUDM atau awam di pangkalan ini.
Skuadron Dan Aset
Bermula dari titik tolak perpindahan No 4 Skuadron PC-130 dari TUDM Kuantan ke pangkalan ini, Pangkalan Udara Subang telah berkembang dengan penubuhan pelbagai skuadron penerbangan serta skuadron bantuan, dengan pembelian pesawat Beachcraft B200 T bagi penubuhan No 16 Skuadron untuk tujuan maritim, No 4 Skuadron dan segala operasi berkaitan telah dipindahkan ke Pangkalan Udara Labuan bertujuan melindungi perairan di Malaysia Timur, di antara skuadron-skuadron yang masih beroperasi di Pangkalan Udara Subang adalah seperti berikut:
Skuadron Penerbangan
- Detasmen No 1 Skuadron
- No 2 Skuadron
- No 16 Skuadron
- No 20 Skuadron
Skuadron Bantuan
- Cawang Kejuruteraan
- Cawang Materiel
- Cawang Operasi
Selain daripada itu, terdapat juga agensi awam yang berada di dalam Pangkalan ini seperti Kelab Rekreasi Tentera Udara (KRTU).
Peranan Dan Tugas
Pangkalan Udara Subang juga bertanggungjawab memberikan perkhidmatan kepada orang kenamaan seperti Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Sultan dan Pemerintahan (Menteri) tidak ketinggalan juga orang kenamaan dari negara lain. Selain dari itu Pangkalan juga memberikan bantuan perkhidmatan kepada pasukan tentera dan polis serta beberapa agensi jabatan kerajaan yang lain.
Pihak Pangkalan juga banyak terlibat di dalam operasi bersama Bangsa-Bangsa Bersatu seperti penerbangan ikhsan bantuan untuk mangsa bencana alam, konflik dan sebaginya diluar negara antaranya Indonesia, Pakistan, Lubnan, Afghanistan, Timur Leste dan beberapa negara lagi.
Pihak Pangkalan juga terlibat secara langsung di dalam OPS PIRAMID yang mana berganding bahu berkerjasama dengan syarikat penerbangan swasta seperti MAS dan Air Asia, melakukan penerbangan Ikhsan mengeluarkan pelajar di negara yang bermasalah seperti Mesir dengan jayanya yang mana ianya telah mengharumkan nama TUDM dan ATM khasnya. TUDM juga terlibat di dalam pengeluaran pelajar Malaysia dari Indonesia semasa tempat mereka dilanda gempa bumi ekoran meletusnya ledakan gunung berapi.
Pangkalan Udara ini telah menjadi salah satu tarikan kepada pasukan tentera udara sahabat untuk mengisi bahan bakar serta lain-lain perkhidmatan atau bermalam dan memakir pesawat di sini. Pangkalan Udara Subang telah berkembang dengan pesat serta dilengkapi peralatan serba moden di mana banyak bangunan pejabat seperti Hangar, Pergerakan Cabang Udara dan lain-lain lagi serta rumah kelamin dinaik taraf sesuai dengan pengenalan Air Force Next Generation.
