Pangkalan Udara Kuching
Sejarah
Pangkalan Udara Kuching telah ditubuhkan pada tahun 1964 dengan dikenali sebagai Pangkalan Tentera Udara DiRaja British (RAF). Ianya dilengkapi dengan sebuah pesawat Twin Pioneer dan empat buah helikopter Alouette III. Setelah pengunduran Tentera British pada 1967, Kerajaan Malaysia telah mengambilalih pengoperasian Pangkalan Udara ini dan bertukar nama kepada Pangkalan TUDM Kuching. Squadron Leader Arthur Cheah telah dilantik menjadi Pegawai Memerintah yang pertama pada 1 Julai 1967. Pada tahun 1968 dan berakhirnya konfrontasi dengan Negara Indonesia, No 7 Skuadron telah ditubuhkan di dalam Pangkalan ini dan dilengkapi dengan 5 buah helikopter Sikorsky S61A-4 (Nuri).
Bagi mendukung sasaran TUDM untuk menjadi sebuah pasukan udara yang berkredibiliti, Pangkalan Udara Kuching turut menggariskan visi dan misi yang mendukung kepada pencapaian misi TUDM yang dihasratkan di kawasan ruang udara Wilayah 2 dan memantapkan pengurusan Pangkalan yang berlandas kepada Total Quality Management (TQM). Pada masa sekarang, Pangkalan Udara Kuching diperintah oleh Komander Pangkalan iaitu Lt Kol Mohd Shabre bin Hj Hussein TUDM. Pangkalan ini dilengkapi dengan tiga buah skuadron operasi dan lima buah cawang bantuan dengan aset terdiri dari 6 buah helikopter Nuri, 8 buah pesawat CN 235 iaitu termasuk 2 buah pesawat VIP, sebuah Radar RG605H dengan keanggotaan keseluruhan seramai 687 orang termasuk 63 orang pegawai.
Motto
‘Bergulai Kitai Bekaraja’
Memberi maksud kerjasama dan perpaduan semua anggota melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dalam memastikan misi Pangkalan khasnya serta misi TUDM tercapai. Semangat perpaduan, kerjasama, kemakmuran dan keharmonian di antara semua anggota menjadi nadi utama dalam memastikan kejayaan Pangkalan Udara Kuching dalam melaksanakan semua tugas yang diamanahkan.
Visi
Menjadikan Pangkalan Udara Kuching Sebagai Sebuah Pangkalan Yang Kredibel dan Menjadi Contoh Kepada Semua Pangkalan TUDM
Misi
Menjadikan Pangkalan Udara Kuching Berwibawa Serta Berkemampuan Sebagai Pangkalan Hadapan Dengan Bantuan Perkhidmatan Yang Efektif dan Efisien.
