Butterworth

Butterworth

Sejarah

Sejarah pangkalan udara Butterworth bermula dalam tahun 1941 apabila Tentera Udara Diraja British (RAF) membuka sebuah pangkalan pembaikan pesawat. Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) kemudian menggunakan pangkalan pembaikan ini sebagai penempatan pesawat peninjau menggunakan pesawat Brewster Buffalo.

Pada 7 Disember 1941, pangkalan ini digunakan oleh pasukan Berikat untuk menempatkan pesawat pengebom Blenheim milik RAF dan pesawat Brewster Buffalo milik RAAF. Dua hari kemudian, 9 Disember 1941 pangkalan ini diserang oleh pesawat udara Jepun. Kesemua pesawat pengebom jenis Bleinheim musnah. Pangkalan udara Butterworth sendiri rosak teruk. Beberapa pesawat Brewster Buffalo dapat berlepas untuk memberikan tentangan tetapi tidak dapat bersaing dengan keupayaan pesawat juang jenis Mitsubishi Zero. Selepas ditawan Jepun, sebuah landasan dibina di arah timur-barat untuk kegunaan tentera udara Jepun. Landasan ini masih ada sekarang dan digunakan untuk memarkir kapal terbang.

Setelah Jepun menyerah diri, pangkalan Butterworth kembali digunakan oleh Tentera Udara Diraja British untuk mengisi minyak pesawat untuk perjalanan Singapura ke Sri Lanka. Semasa darurat, pangkalan udara Butterworth digunakan oleh 33 Skuadron RAF (dilengkapkan dengan Hawker Tempest) untuk menjalankan misi pengeboman dan serangan roket ke atas kubu dan kedudukan pengganas komunis. Operasi ini berterusan sehingga tahun 1955. Pesawat pengebom jenis Avro Lincoln milik RAAF juga ditempatkan di Butterworth bagi menjalankan misi pengeboman.

Pada tahun 1955, RAF menyerahkan pangkalan udara Butterworth kepada RAAF. Sebuah landasan dengan panjang 3,000 meter dibina dengan arah utara-selatan (landasan yang ada sekarang). Walaupun milik RAF, RAAF menggunakan Pangkalan Udara Butterworth untuk menempatkan 78 Fighter Wing terdiri dari 3 Skuadron dan 77 Skuadron dengan pesawat Sabre dan 2 Skuadron dengan pesawat pengebom Canberra.

Pangkalan Udara Butterworth diserahkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia pada 31 Mac 1970 sebagai memenuhi Persetujuan Dudley, 1955. Oleh kerana TUDM masih belum mempunyai keupayaan tempur, RAAF masih diberikan tanggungjawab untuk memberikan perlindungan pertahanan udara. Oleh itu, 2 buah skuadron Mirage III RAAF ditempatkan di Butterworth.

TUDM Butterworth juga dijadikan ibu pejabat Sistem Pertahanan Udara Bersepadu IADS di bawah Rancangan Pertahanan Lima Negara FPDA melibatkan Malaysia, Australia, Singapura, New Zealand dan United Kingdom.

Dalam tahun 1969, 11 Skuadron TUDM ditubuhkan menggunakan 12 pesawat Avon Sabre yang didermakan Australia. Pada 1 Januari 1971, Pusat Pertahanan Udara TUDM menempatkan radar Marconi A600 di Butterworth, menggantikan unit radar RAF di Pulau Pinang. 3 Skuadron TUDM dengan helikopter S-61 Nuri juga ditempatkan di TUDM Butterworth.

Pada 31 Mei 1975, 12 Skuadron TUDM ditubuhkan dengan kelengkapan 16 buah pesawat pejuang supersonik jenis Northrop F5E. 11 Skuadron (Sabre) dibubarkan dan ditubuhkan semula dalam tahun 1983 dengan pesawat peninjau RF-5E Tigereye. Dalam tahun 1986, 18 Skuadron TUDM ditubuhkan di Butterworth dengan pesawat Boeing F-18D Hornet.

Kini TUDM Butterworth menjadi pangkalan udara utama untuk TUDM. Tetapi RAAF masih menempatkan satu skuadron sokongan untuk membolehkan penempatan pesawat-pesawat terbang dari RAAF untuk beroperasi di TUDM Butterworth. No 324 Combat Support Sqn merupakan salah satu unit RAAF yang berada di TUDM Butterworth.