Muzium TUDM

Muzium TUDM

Tentera Udara Diraja Malaysia mempunyai sejarah tersendiri. Daripada angkatan udara yang mempunyai 14 orang kakitangan pada tahun 1956, Tentera Udara Diraja Malaysia telah berkembang menjadi sebuah Angkatan seperti sekarang yang memiliki MiG-29, F-18 dan SU-30. Muzium Tentera Udara Diraja Malaysia yang menyimpan segala perkara yang menjadi warisan dalam perubahan yang berlaku keatas pembangunan Tentera Udara Diraja Malaysia. Muzium TUDM terletak di Pangkalan Udara Kuala Lumpur dapat memberikan pengalaman yang menarik dalam melihat sendiri sejarah lampau tentang Tentera Udara Diraja Malaysia.

SEJARAH PENUBUHAN MUZIUM TUDM

PENUBUHAN JAWATANKUASA MUZIUM TUDM ADHOC

Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Panglima Tentera Udara (JPPTU) Ke-42 telah diadakan pada tanggal 30 April 1984. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Panglima Tentera Udara (PTU) iaitu Tan Sri Mohd Ngah bin Said dan ahli jawatankuasa yang terdiri daripada lapan orang Pegawai-Pegawai Kanan TUDM yang terdiri daripada bahagian Kejuruteraan, Bahagian Logistik, dan Bahagian Pentadbiran.

Mesyuarat  ini juga telah bersetuju melantik Brigader Jeneral Muslim bin Ayob sebagai Pengerusi Muzium TUDM ADHOC manakala Mejar Vincent Pinto dilantik sebagai Pengurus Muzium.

Semenjak ditubuhkan secara ADHOC pada tahun 1984, Muzium TUDM telah berusaha untuk mengumpul berbagai-bagai jenis peralatan dari pangkalan-pangkalan TUDM, individu-individu serta bekas Pegawai Royal British Air Force (RAF). sumbangan yang diterima dari pegawai dan lain-lain pangkat TUDM amat mengalakkan.

Selain itu, sumbangan koleksi dari perseorangan dan organisasi dari dalam dan luar negara telah dikumpulkan. Di peringkat awal penubuhannya, muzium ini juga telah berjaya memulihkan beberapa pesawat lama TUDM untuk dipamerkan. Ketika itu juga kerja-kerja untuk menubuhkan Arkib Muzium TUDM bagi mengumpul segala maklumat sudah dimulakan tetapi ianya terjejas kerana kekurangan pekerja mahir untuk melaksanakan tugas ini.

Walaupun Muzium TUDM ini diwujudkan secara ADHOC sahaja, namun ianya sudah dikenali di luar negara khususnya di kalangan bekas-bekas Pegawai TUDM dari RAF di United Kingdom. Muzium ADHOC TUDM telah menerima lawatan dari orang kenamaan dan Pegawai-Pegawai Kanan TUDM dari dalam dan luar negara. Selain itu, pelawat-pelawat tempatan juga tidak ketinggalan untuk mengunjungi Muzium ini. Jumlah pelawat yang semakin meningkat menunjukkan kepentingan muzium ini kepada rakyat di negara kita.

PENUBUHAN MUZIUM TUDM SECARA RASMI

Muzium TUDM telah ditubuhkan secara rasminya pada 1 Jun 1985 oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia iaitu Jeneral Tan Sri Dato’ Ghazali bin Mohd Seth sempena  Hari Ulang Tahun Tentera Udara  Diraja Malaysia ke 27. Penubuhan Muzium TUDM bermula di Pangkalan Udara Sungai Besi Kuala Lumpur.

Hanya empat ruang pameran yang di buka untuk tatapan pengunjung yang hadir iaitu ruang pameran di luar hangar, ruang pameran di dalam Hangar, Galeri 1 Dan Galeri 2. Setiap ruang mempamerkan koleksi berbeza untuk memberi pendedahan yang terperinci kepad pengunjung yang hadir. Pada awalnya hanya lima buah pesawat yang dipamerkan di sini.

Muzium TUDM diwujudkan untuk merakam dan mempamerkan warisan budaya serta sejarah Tentera Udara Diraja Malaysia bagi tatapan generasi akan datang.

VISI DAN MISI MUZIUM TUDM

A.         VISI:

Menjadi Sebuah Institusi Permuziuman Yang  Unggul.

B.         MISI:

Mengabadikan Warisan TUDM dan  Menyalurkan Wadah TUDM Kepada Semua.

PERANAN MUZIUM TUDM

Muzium secara global berperanan sebagai sebuah Institusi Pendidikan, gedung ilmu dan pusat sumber. Muzium TUDM juga bertindak sedemikian sebagai institusi pendidikan, ianya berperanan menyebar dan mengembangkan ilmu pengetahuan yang berguna mengenai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Sebagai pusat sumber ianya berperanan membekal maklumat. Sebagai gedung ilmu pula, ianya mampu berperanan untuk menyimpan, mendokumentasi dan menerbitkan bahan-bahan yang kaya dengan unsur-unsur sejarah, budaya serta aktiviti mengenai TUDM, disamping menyimpan maklumat terkini mengenai Tentera Udara.

Muzium TUDM juga akan berperanan sebagai Muzium Pusat dan menjadi peneraju dan pemimpin kepada semua galeri dan sudut sejarah  yang telah dan sedang dibangunkan  di skuadron- skuadron serta pangkalan-pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia.

FUNGSI MUZIUM TUDM

Fungsi utama Muzium TUDM adalah untuk menyelidik, memungut, mengumpul, memelihara, mendokumentasi serta menyimpan barang-barang berunsur sejarah dan budaya Tentera Udara untuk dijadikan sebagai khazanah warisan sejarah. Disebalik itu, ia menceritakan tentang kejayaan yang pernah dicapai oleh TUDM di mana ia akan berfungsi sebagai satu pemangkin dalam menanamkan semangat keperwiraan dan kebanggaan anggota-anggota ATM dan sebagai bahan rujukan untuk generasi akan datang.

Ia juga boleh dimanafaatkan oleh masyarakat awam  dan anggota TUDM khasnya menerusi aktiviti pameran, pendidikan dan penerbitan. Muzium TUDM juga bertindak sebagai aset dan produk berguna untuk membantu mempromosikan tentang kepentingan dan kehebatan bidang ketenteraan terutama TUDM kepada orang ramai, di samping membantu kerajaan dalam menggalakkan industri pelancongan negara.

LAIN-LAIN MAKLUMAT MENGENAI MUZIUM TUDM

Nama Muzium : MUZIUM TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA

Alamat (Address) :

Muzium TUDM
Pangkalan Udara Kuala Lumpur
Jalan Lapangan Terbang Lama
50460 Kuala Lumpur
 
No Telefon / Faks (Telephone / Fax) :
Tel        : 03-2117 1201 / 03-2117 1202
Fax       : 03-2144 4134
 
Laman Wb (Homepage) :
Facebook : RMAF Museum

Waktu Operasi (Opening Hours) :

Isnin hingga Khamis   : 9.00 pagi – 5.00 petang

Jumaat : Tutup

Sabtu dan Ahad : 9.30 pagi – 5.00 petang

Bayaran Masuk (Admission) :

Percuma

Penerangan tentang laluan untuk sampai ke muzium /  galeri / memorial

(How to get there) :

Bas/teksi

Bas dari KL Sentral – Stesyen Bas Klang (Rapid KL T423), Teksi dari pusat bandaraya.

Lawatan berkumpulan tulis surat kepada Muzium TUDM. (Untuk Perhatian : Pengarah Muzium TUDM)

Tentang Muzium

Muzium ini meliputi sebuah hanger lama dan beberapa bangunan lama yang ditinggalkan oleh RAF (Royal Air Force) dahulu. Hanger ini menempatkan pesawat-pesawat yang pernah digunakan oleh TUDM.  Di samping itu terdapat dua galeri pameran yang mempamerkan gambar-gambar serta maklumat sejarah penubuhan Tentera Udara Diraja Malaysia, zaman darurat dan komunis serta pameran mengenai peralatan dan komponen pesawat.