ZAMBOANGA CITY, PHILIPPINES, 12 Jul 12 – Lawatan Kerja Tahunan Panglima 2 Divisyen Udara dan delegasi ke Zamboanga City telah berlangsung dengan jayanya dari 10 hingga 12 Jul 2012. Panglima 2 Divisyen Udara YBhg Mej Jen Dato’ Sabri bin Adam TUDM serta delegasi tiba dengan pesawat CN235 dan disambut oleh Wing Commander of 530th Air Base Wing, Edwin Andrew Air Base (EAAB), Zamboanga City, Brig Gen Emeraldo C. Magnaye AFP. Seterusnya membuat kunjungan hormat kepada Commander 3rd Air Division, EAAB, Maj Gen Jose Tony E. Villarete AFP. Pada pertemuan itu, kedua-dua belah pihak telah bertukar-tukar pandangan dan buah fikiran mengenai keadaan keselamatan serantau dan di perbatasan kedua-dua negara, selain bagi mengeratkan lagi kerjasama dan persefahaman yang telah sedia terjalin.
Panglima 2 Divisyen Udara dan delegasi juga telah membuat kunjungan hormat kepada Commander of Western Mindanao Command (WESTMINCOM), Camp Navaro, Zamboanga City, iaitu Lt Gen Noel A. Coballes AFP. Antara topik perbincangan adalah berkaitan isu-isu keselamatan serantau di mana akan terus diberi perhatian oleh kedua-dua belah pihak. Kemudian, delegasi berkesempatan membuat kunjungan ke International Monitoring Team (IMT) – Mindanao 7 Team Site 3 yang disambut oleh Deputy Head of Mission (HOM), Brig Jen Dato’ Hj Zulkapli bin Mohd Noor TUDM dan Team Site Leader, Kol Mohd Halim bin Khalid.
Lawatan kerja tahunan ini telah berjaya mencapai objektifnya dalam mengeratkan lagi hubungan baik antara kedua-dua negara.




