BANTING ,2 April 2012 - Mengimbas kembali tarikh keramat iaitu tanggal 1 April 1979 lahirnya Pasukan Pertahanan Darat dan Udara TUDM (HANDAU) yang kini dikenali sebagai PASKAU. Satu perbarisan sempena Hari Ulang Tahun penubuhan Pasukan Khas TUDM yang ke 33 tahun telah diadakan di Padang Kawad Rejimen TUDM Jugra. Kol Hj Mohamed Nazri bin Dashah TUDM Pegawai Memerintah Rejimen TUDM telah menerima tabik hormat daripada anggota perbarisan yang terdiri dari 5 pegawai dan 154 anggota yang berpakaian tempur dan lengkap bersenjata. Dalam amanat beliau, Pegawai Memerintah telah mengingat dan menekankan tentang Air Force Next Generation (AF-NG) yang perlu diadaptasikan oleh warga PASKAU secara berkesan. Justeru itu, warga PASKAU diseru supaya sentiasa berusaha menimba ilmu kemahiran dan pengetahuan demi mencapai prestasi dan kualiti kerja yang cemerlang. Pelaksanaannya adalah berlandaskan kepada lima nilai teras utama TUDM iaitu Integriti, Keberanian, Keunggulan, Setia Kawan dan mengutamakan Perkhidmatan daripada kehendak peribadi. Beliau juga mengingatkan agar semua peringkat anggota untuk terus mengekalkan tahap dan pencapaian cemerlang dalam Operasi, eksesais dan bidang sukan. Ianya bukan sahaja perlu dikekalkan malahan hendaklah ditingkatkan demi memastikan PASKAU terus maju jaya.
Dalam majlis yang sama, seramai 2 anggota telah dinaikan ke pangkat Pegawai Waren Udara Dua, 9 anggota ke Flait Sarjan dan 4 anggota ke Sarjan Udara beserta 3 anggota telah menerima Sijil Penghargaan Pegawai Memerintah. Majlis Tahlil Kesyukuran juga telah diadakan di Surau Nurul Huda Rejimen TUDM.
