KUALA LUMPUR – Panglima Tentera Udara, telah menerima kunjungan hormat dari beberapa Pegawai Kanan TUDM yang menganggotai Tim Pemantau Antarabangsa (IMT-6) yang dijangka akan berlepas ke Mindanao pada 7 Mac 2011. Semasa kunjungan hormat tersebut Panglima Tentera Udara telah memberikan nasihat dan panduan yang amat berharga bagi anggota tim. Beliau mengingatkan anggota tim agar sentiasa berwaspada, peka dengan perubahan persekitaran serta pantas membuat penilaian sebelum membuat sebarang tindakan bersesuaian dengan keadaan. Beliau juga menyeru anggota tim agar bertugas dengan penuh dedikasi serta komited dan sentiasa menjaga nama baik TUDM pada sebilang masa. Anggota tim pemantau ini dijangka akan bertugas selama setahun di Mindanao. Sehubungan itu juga, beliau mengharapkan agar anggota tim memberikan perhatian yang sewajarnya dalam aspek kebajikan dan keselesaan kehidupan ahli keluarga yang ditinggalkan. Semoga segala kata-kata nasihat dan peransang yang diberikan oleh Panglima Tentera Udara akan menjadi panduan dan pembakar semangat kepada anggota tim untuk menabur bakti di bumi Mindanao.
