Lawatan Kerja Panglima Operasi Udara Ke Rejimen TUDM

BANTING – Panglima Operasi Udara, YBhg Lt Jen Dato’ Roslan bin Saad TUDM telah membuat lawatan kerja ke Rejimen TUDM Jugra pada 27 Okt 2010. Delegasi turut disertai oleh Ketua Pengarah Operasi dan Eksesais, Brig Jen Dato’ Sabri bin Adam TUDM, Pengarah BANOP, Lt Kol Zulkefri bin Omar TUDM, PS 1 Tadbir, Lt Kol Mohamad Noh bin Daim TUDM dan beberapa pegawai lain Markas Operasi Udara. Ketibaan Panglima Operasi Udara telah disambut oleh Pegawai Memerintah, Kol Hj Mohamad Nazri bin Dashah TUDM dan pegawai-pegawai di Wisma Perwira Rejimen. Semasa lawatan, delegasi Panglima Operasi Udara telah menerima taklimat daripada Pegawai Memerintah di Bilik Mesyuarat Rejimen dan seterusnya membuat lawatan ke Cawang Operasi dan Cawang Bantuan. Panglima juga berkesempatan memandu uji perolehan yang baru diterima oleh Rejimen iaitu Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) di Batu Hampar. Akhir lawatan, Panglima Operasi Udara telah meluangkan masa  untuk sesi dialog bersama-sama anggota Rejimen di Mes Ahli Udara.