30 Jun 12 : Istiadat Perbarisan Di Raja Dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Diploma Kelas 2012

 

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku AlHaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni AlMarhum Sultan Badlishah berkenan untuk mencemar duli bagi mengambil tabik hormat dan menyempurnakan Istiadat Perbarisan Di Raja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Siswa (PKS) Diploma Kelas 2012 Kolej Tentera Udara Diraja Malaysia (KTU) pada 30 Jun 2012 (Sabtu) bertempat di Padang Kawad KTU, Kepala Batas, Alor Setar. Turut hadir di perbarisan tersebut adalah Menteri Besar Kedah, Panglima Angkatan Tentera dan Panglima-panglima Perkhidmatan.

PKS Diploma Kelas 2012 adalah merupakan pengambilan yang ke-15 bagi Skim PKS KTU yang telah dilancarkan oleh TUDM melalui program berkembar dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Pengajian ini mengambil masa pengajian selama 3 tahun dalam bidang Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Aeronautik). PKS Diploma Kelas 2012 telah melapor ke KTU pada 8 Jun 2009 dan setelah melalui 6 semester dalam pengajian akademik KTU/UTM dan ketenteraan seramai 34 orang pegawai kadet telah berjaya menamatkan pengajian serta latihan dan memenuhi kriteria yang melayakkan mereka untuk ditauliahkan sebagai Pegawai TUDM dalam perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Di samping pengajian akademik yang mengikut jadual pengajian UTM, PKS Diploma Kelas 2012 turut menjalani modul latihan ketenteraan yang dilaksanakan pada setiap hari Selasa dan juga semasa cuti semester.  Latihan ketenteraan ini dibahagikan kepada 3 fasa:

  1. Fasa Pertama.  Meliputi latihan induksi ketenteraan selama 6 minggu yang dijalankan semasa pengajian akademik Semester 1.  Di dalam fasa ini, mereka diberi penekanan tentang aspek ketahanan mental, fizikal dan daya kepimpinan.  Latihan Medan Fasa Pertama ialah Latihan Wira Muda yang telah dijalankan di Hutan Lipur Bukit Wang, Jitra, Kedah. Latihan Menembak Kelasifikasi 1 (K1) juga turut dijalankan dalam fasa ini di Lapang Sasar Bukit Pinang, Kepala Batas, Kedah.
  2. Fasa Kedua.  Meliputi latihan ketenteraan semasa pengajian akademik Semester 2 dan 3.  Latihan medan di dalam fasa ini ialah Latihan Wira Tahan yang telah diadakan di KTU. Latihan menembak diteruskan dengan Latihan Menembak Kelasifikasi 2 (K2) di Lapang Sasar Bukit Pinang, Kepala Batas, Kedah. PKS juga didedahkan dengan latihan asas ketenteraan lain seperti  ’abseilling and repelling’, ’river crossing’ dan membaca peta.
  3. Fasa Ketiga.  Meliputi latihan ketenteraan yang diadakan semasa pengajian akademik Semester 4, 5 dan 6.  Latihan medan di dalam fasa ini ialah Latihan Wira Jaya di Hutan Lipur Lata Mengkuang, Sik, Kedah di mana PKS ini akan dinilai dari aspek kepimpinan, kemahiran dan pengetahuan ketenteraan. Dalam fasa ini, kemahiran menembak PKS Diploma Kelas 2012 diuji dalam Ujian Kemahiran Menembak (UKM) yang diadakan di Lapang Sasar Bukit Pinang, Kepala Batas, Kedah.

PKS Diploma Kelas 2012 telah diberi peluang untuk merasai pengalaman melawat ke Akademi Tentera Udara Diraja Thai pada 19 hingga 22 September 2011 sempena Program Pertukaran Pegawai Kadet TUDM dengan Pegawai Kadet Tentera Udara Diraja Thai.

PKS Diploma Kelas 2012 juga telah menempa sejarah dalam Program Diploma KTU/UTM dimana 21 orang pelatih telah berjaya memperoleh Anugerah Dekan bagi semester 6 dimana ia merupakan keputusan yang terbaik sejak program Pegawai Kadet Diploma KTU/UTM diwujudkan. Seramai empat pelatih telah berjaya memperoleh Diploma Kelas Pertama disamping kesemua pelatih berjaya mendapat Purata Nilai Gred (PNG) 3.0 dan keatas dalam pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Aeronautik). Kesemua PKS ini telah ditauliahkan ke pangkat Leftenan Muda TUDM dan dijadualkan mengikuti Kursus Asas Penerbangan di Pusat Latihan Terbang Satu (PULATIBANG 1) KTU selepas ini.

Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah PKS Diploma Kelas 2012 KTU TUDM adalah merupakan Istiadat Perbarisan terakhir bagi Pentauliahan Skim berkenaan dimana mulai tahun 2013 TUDM akan mengambil bakal Pegawai TUDM dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan melalui Skim Pegawai Graduan.

Untuk istiadat yang penuh gilang gemilang ini, 374915 Kadet Sarjan Mohammad Syaaban bin Zainal Abidin telah dipilih untuk menerima Anugerah Pegawai Kadet Terbaik Keseluruhan bagi Kelas Diploma 2012 dan menerima Piala Pusingan Sultan Haji Ahmad Shah beserta Pedang Kehormatan. Beliau ditauliahkan ke dalam cawang juruterbang.

Manakala bagi Anugerah Pegawai Kadet Terbaik Akademik telah disandang oleh 374919 Pegawai Kadet Siswa Kanan Mohd Hanafi bin Mahadi. Beliau telah menerima Piala Panglima Pendidikan Udara dan juga ditauliahkan ke dalam cawang juruterbang.

 

//