Barisan Baru Pemimpin TUDM

KUALA LUMPUR – Satu majlis pemakaian pangkat kepada Panglima Operasi Udara telah diadakan pada 8 November 2010 jam 2.00 petang bertempat di Bilik Teratai, Tingkat 5, Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.

Pada majlis tersebut, Mejar Jeneral Dato’ Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah dipakaikan pangkat Leftenan Jeneral TUDM dan akan memegang jawatan sebagai Panglima Operasi Udara menggantikan Leftenan Jeneral Dato’ Roslan bin Saad TUDM. Sementara itu, Leftenan Jeneral Dato’ Roslan bin Saad TUDM telah mengambil alih jawatan Timbalan Panglima Tentera Udara dari Leftenan Jeneral Datuk Sri Bashir bin Hj Abu Bakar TUDM yang telah bersara dari perkhidmatan.

Majlis pemakaian pangkat ini telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM yang turut disaksikan oleh Pegawai-pegawai Kanan TUDM yang lain.

Pada majlis ini juga, Panglima Tentera Udara telah membuat perisytiharan dan memperkenalkan secara rasmi pemimpin tertinggi TUDM terbaru yang akan membarisi pucuk pimpinan untuk memimpin warga TUDM dalam merealisasikan visi strategik TUDM iaitu Air Force-Next Generation. Mereka adalah Leftenan Jeneral Dato’ Roslan bin Saad TUDM selaku Timbalan Panglima Tentera Udara dan Leftenan Jeneral Dato’ Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM selaku Panglima Operasi Udara.