KUALA LUMPUR, 19 Jul 12 – Dengan tema tahun ini, “Pahlawan Perkasa, Rakyat Sejahtera” maka Majlis Pelancaran Rayuan Hari Pahlawan secara rasminya telah dilancarkan oleh Isteri Perdana Menteri, Yang Amat Bahagia Datin Paduka Seri Rosmah Mansor selaku Penaung Rayuan Hari Pahlawan 2012 di Auditorium, Angkasapuri petang tadi. Turut hadir di majlis ini ialah Panglima Tentera Udara YBhg Jen Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM. Selain itu, Menteri Pertahanan, Timbalan Menteri Pertahanan, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Panglima Tentera Laut, Ketua Pengarah Penyiaran, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM serta pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan turut hadir dalam majlis ini.
Tempoh Kutipan Rayuan Hari Pahlawan 2012 adalah tiga bulan mulai 15 Julai 2012 hingga 15 Oktober 2012. Secara rasminya rakyat Malaysia boleh turut serta dalam menghargai pahlawan-pahlawan negara yang telah menyumbang bakti kepada negara dengan menghulurkan sumbangan kepada Tabung Rayuan Hari Pahlawan Tahun 2012 dan setiap penderma akan diberikan sekuntum Bunga Raya sebagai simbol Rayuan Hari Pahlawan ini. Sumbangan juga boleh dibuat kepada akaun Tabung Rayuan Hari Pahlawan bernombor 10-595-000-320-1 (Affin Bank).





