BUTTERWORTH, 18 Jul 12 – Perbarisan Penyampaian Sayap dan Sijil Penerbangan Kursus Asas Penerbangan Siri 73 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 53/11 telah diadakan bertempat Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang pada 18 Jul 12 (Rabu) bermula pada jam 8.00 pagi.
Panglima Tentera Udara, YBhg Jen Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM telah menyampaikan Sayap dan Sijil Penerbangan kepada 41 orang Pegawai yang telah berjaya menamatkan kursus-kursus tersebut.
Para pelatih kursus penerbangan telah memulakan Kursus Asas Penerbangan dengan Fasa Akademik iaitu Kursus Ilmu Penerbangan Asas pada 20 Ogos 2009. Seterusnya, para pelatih menjalani Fasa Penerbangan Asas pada 22 Mac 2010 dimana dalam kursus ini para pelatih dilatih dengan kemahiran pengendalian asas pesawat menggunakan pesawat Pilatus PC-7.
Setelah para pelatih kursus ini berjaya menamatkan Fasa Penerbangan Asas, mereka kemudiannya telah dibahagikan kepada dua kumpulan latihan iaitu Latihan Penerbangan Lanjutan Pilatus PC-7 dan Kursus Asas Helikopter. Didalam kedua-kedua latihan ini, para pelatih dilatih dengan dengan lebih mendalam berkenaan kemahiran mengendalikan pesawat mengikut kursus masing-masing.
Seramai 25 orang pelatih dari Kursus Latihan Penerbangan Lanjutan Pilatus PC-7 telah lulus dengan jayanya dimana dua orang daripadanya adalah dari perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan diikuti oleh 16 orang pelatih daripada Kursus Asas Helikopter.
Penerima Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (Akademik Terbaik) ialah Lt Muhammad Osman bin Mohd Sidek TUDM.
Penerima Anugerah Piala Panglima Tentera Udara (Terbaik Penerbangan Sayap Kaku) ialah Lt Ezraini Azrin Khoo bin Mohamad Erwan Khoo TUDM.
Penerima Piala Nuri (Terbaik Penerbangan Helikopter) ialah Lt. M. Khairul Azwan bin Ismail TUDM.




