KUALA LUMPUR, 11 Jul 12 – Bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan telah berlangsung satu majlis Pelancaran Buku Panduan Budaya Inovasi ATM. Majlis ini telah dirasmikan oleh Panglima Angkatan Tentera YBhg Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Zulkifeli bin Mohd Zin. Turut hadir pada majlis ini ialah Panglima Tentera Darat, Timbalan Panglima Tentera Laut dan Timbalan Panglima Tentera Udara.
Dalam ucapannya, Panglima Angkatan Tentera menekankan 4 pendekatan utama untuk menerapkan budaya inovasi dalam perkhidmatan iaitu persekitaran dan budaya kerja dalam organisasi perlu mendorong kepada penyuburan nilai-nilai inovasi dan kreativiti. Kedua, memupuk kemahiran dan intelektualisme di kalangan warga tentera, Pendekatan ketiga ialah mempelbagaikan aktiviti bagi pembudayaan inovasi. Selain itu warga tentera harus berfikiran kritis dan konstruktif dalam menunaikan tanggungjawab dengan mencari penyelesaian kreatif dan inovatif.
Panglima Angkatan Tentera turut menyampaikan sijil pengiktirafan kepada wakil-wakil perkhidmatan di atas pencalonan Anugerah Inovasi Perdana Menteri 2011. Antara senarai penerima anugerah tersebut adalah Markas Rejimen Askar Jurutera 1 Divisyen bagi projek Sistem Penapisan Bekalan Air Luar Bandar, Cawangan Perancangan dan Pembangunan MTD bagi projek Program Pemulihan Pemasyarakatan, Jabatan Arah Jurutera MTD bagi projek Program Jiwa Murni, Bahagian Rancang dan Operasi MTL bagi projek Bunga Mas Lima dan Bunga Mas Enam, Pusat Hidrografi Nasional bagi projek Malaysian Electronic Navigational Charts (MyENC), Depot Peluru dan Letupan TLDM bagi projek MINEU MOD38 dan wakil TUDM adalah dari Pusat Perkhidmatan Kejuruteraan Aerospace (PUSPEKA) bagi projek SARFIND Universal Adapter Box.





