|
LT JEN DATUK SERI BASHIR BIN HAJI ABU BAKAR
PSAT SMW SIMP SPKK DPKK DSAP DIMP PAT JSM SMP KAT PPA fadc dssc mpat psc jt TUDM
Lt Jen Datuk Seri Bashir bin Hj Abu Bakar TUDM yang berasal dari Machang, Kelantan ditauliahkan sebagai Pilot Officer pada tahun 1972.
Pada tahun 1973 setelah tamat mengikuti kursus Asas Penerbangan di Pangkalan Udara Alor Setar, beliau telah ditukarkan ke beberapa skuadron pesawat pejuang. Sepanjang kariernya sebagai juruterbang pejuang, beliau berpengalaman mengendalikan pelbagai jenis pesawat pejuang atau tempur seperti pesawat Tebuan CL- 41G di No. 6 Skuadron di Pangkalan Udara Kuantan, Pesawat Sabre F-86 di No. 11 Skuadron dan pesawat F-5 di No. 12 Skuadron di Pangkalan Udara Butterworth dan pesawat MiG-29 di Pangkalan Udara Kuantan. Pada masa sekarang, beliau berkesempatan juga mengendali pesawat F/A-18D di Pangkalan Udara Butterworth.
Pada tahun 1980, Lt Jen Datuk Seri Bashir TUDM telah mengikuti Kursus Jurulatih Penerbangan di RAAF Central Flying School, Australia. Setelah tamat kursus, beliau kembali ke tanah air dan berkhidmat sebagai Jurulatih Terbang di Pusat Latihan Terbang di Pangkalan Udara Alor Setar. Beliau juga berjaya mengikuti Kursus Fighter Weapon Instructor dan kemudian ditukarkan berkhidmat ke No. 12 Skuadron (pesawat F-5) sebagai Fighter Weapon Instructor.
Jawatan staf yang pernah disandang olehnya ialah Staff Officer Fighter Ops di Markas Integrated Air Defence System - FPDA di Butterworth pada tahun 1983 selama setahun. Kemudian beliau mengikuti kursus Staff and Command di Seoul, Korea Selatan dan setelah kembali ke Malaysia pada tahun 1988, beliau memegang jawatan Ketua Skuadron F-5 di No. 11 Skuadron di Butterworth.
Pada tahun 1989, Lt Jen Datuk Seri Bashir TUDM telah ditukarkan ke Bahagian Perancangan dan Pembangunan di Markas Tentera Udara dan terlibat dalam program permodenan TUDM. Dalam tahun 1993 beliau mengetuai Tim Projek Simulator Pesawat Hawk bertempat di United Kingdom. Setelah pulang ke Malaysia pada tahun 1995, beliau memegang jawatan sebagai Pegawai Eksekutif (EXO) Skuadron MiG-29 dan kemudiannya menjadi Komander Pangkalan Udara Kuantan. Dalam tahun 1998 beliau telah mengikuti kursus di Maktab Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia.
Selepas itu beliau telah diberi kepercayaan memegang jawatan Ketua Staf Markas No. 1 Divisyen Udara sehingga tahun 1999. Pada tahun 2000 beliau mengikuti kursus Pengajian Strategi dan Pertahanan di Kolej Pertahanan Australia, di Canberra. Setelah menamatkan kursus, pada tahun 2001 beliau telah dinaikkan ke pangkat Brigedier Jeneral TUDM dan memegang jawatan Panglima No. 1 Divisyen Udara. Pada tahun 2004 beliau telah dinaikkan ke pangkat Mejar Jeneral TUDM dan memegang jawatan yang sama. Dengan kepimpinan yang terserlah, beliau kemudiannya dinaikkan ke pangkat Leftenan Jeneral TUDM pada Julai 2006 dan ditukarkan ke Markas Operasi Udara memegang tampuk kepimpinan sebagai Panglima Operasi Udara. Seterusnya pada tanggal 30 Okt 2006, beliau telah dilantik sebagai sebagai Timbalan Panglima Tentera Udara.
Selaras dengan pengalaman dan pengetahuan yang mendalam di dalam bidang pengoperasian Tentera Udara Diraja Malaysia, pada 2 September 2009 beliau sekali lagi telah diberi kepercayaan untuk menerajui Markas Operasi Udara sebelum meneruskan kerjaya sebagai Timbalan Panglima Tentera Udara pada 19 Ogos 2010.
Lt Jen Datuk Seri Bashir TUDM telah mendirikan rumahtangga dengan Datin Seri Maimun bte Muhammad dan hidup bahagia bersama 5 orang cahaya mata.
|