|
ALOR SETAR- Satu Upacara Istiadat Perbarisan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Bagi Pegawai Kadet Siswa Diploma Kelas 2010 dan Pegawai Graduan Siri 23/2010 telah diadakan di Padang Kawad Kolej Tentera Udara (KTU), Alor Setar Kedah pada 3 Julai 2010 bermula jam 8.00 pagi.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, Sultan Al Mu’Tasimu Billahi Muhibbudin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’Adzam Shah Ibni Al Marhum Sultan Badlishah telah berkenan untuk mencemar duli bagi mengambil tabik hormat dan menyempurnakan upacara pentauliahan. Turut hadir di perbarisan ini ialah Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM, wakil kepada Panglima Tentera, Darat, Brig Jen Hj. Azlan bin Abd Rahman dan wakil kepada Menteri Besar Kedah, Yb. Dato’ Dr. Hj. Abdul Isa bin Ismail.
Pegawai Kadet Siswa Diploma Kelas 2010 merupakan pengambilan Ke-12 bagi Skim Pegawai Kadet Siswa Kolej Tentera Udara (KTU) yang dilancarkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui program berkembar dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Pengajian ini mengambil masa pengajian selama 3 tahun di dalam bidang Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Aeronautik). Pegawai Kadet Siswa Diploma Kelas 2010 telah melapor ke KTU pada 5 Julai 2007. Setelah melalui 6 semester dalam pengajian akademik KTU/UTM dan ketenteraan, seramai 32 orang telah berjaya menamatkan pengajian mereka mengikut kriteria yang telah ditetapkan dan ditauliahkan sebagai Pegawai TUDM.
Di samping pengajian akademik yang mengikut jadual pengajian UTM, Pegawai Kadet Siswa Diploma Kelas 2010 turut menjalani modul latihan ketenteraan yang dilaksanakan pada setiap hari Jumaat dan juga semasa cuti semester. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah juga turut berkenan untuk menyampaikan Piala Komandan kepada 374576 Pegawai Kadet Siswa (PKS) MOHD ANASILHAM BIN AMINUDDIN yang berjaya menerima anugerah Piala Komandan bagi siri kali ini. Kesemua Pegawai Kadet Siswa ini akan mengikuti Kursus Asas Penerbangan di Pusat Latihan Terbang Satu (PLTB 1) KTU selepas ditauliahkan.
Dalam pada itu, Kursus Pegawai Graduan Siri ke 23/2010 pula telah melapor diri di Pusat Latihan Pegawai (PLP), Kolej Tentera Udara (KTU) Alor Setar pada 22 Feb 2010 dan seterusnya ditauliahkan dengan pangkat Kapten TUDM dan Leftenan TUDM di dalam pelbagai cawang iaitu Cawang Kejuruteraan, Cawang Urusetia, Cawang Logistik dan Cawang Kawal dan Lapor serta Cawang Kawal Lalu Lintas Udara pada 23 Feb 2010. Kursus ini terdiri daripada 32 orang iaitu 28 pelatih lelaki dan 4 pelatih wanita.
|