



IPOH, 21 Mei 13 – Majlis Perasmian Penutupan Perkhemahan Dan Pemakaian Pangkat PKBM (Udara) Peringkat Kebangsaan 2013 telah diadakan di Dewan Rajawali Institut Latihan Tentera Udara (ITU), Ipoh tengahari tadi. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, YBhg Jen Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM. Turut hadir ialah AKS Tadbir, Mej Jen Dato’ Mohd Noh bin Mohd Said TUDM dan Timbalan AKS PPO, Brig Jen Dato Syed Salim bin Syed Abu Bakar TUDM. Program Perkhemahan ini telah berlangsung bermula 17 hingga 21 Mei 13 di Pusat Kepimpinan Pelajar (PUSKEP), Lenggong Perak. Jabatanarah Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia (JPSTUDM) bersama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah bertanggungjawab menguruskan segala aktiviti pengurusan dan pentadbiran PKBM Udara bagi program-program melibatkan PKBM Udara. Objektif program perkhemahan ini adalah untuk meningkatkan semangat patriotisme di kalangan generasi muda, memupuk semangat perpaduan kaum serta intergrasi nasional, membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni, menyemarakkan semangat kesukarelawanan dan melahirkan generasi muda yang lebih cergas, cerdas dan penuh jati diri. Seramai 288 orang kadet PKBM Udara dari 24 buah sekolah di bawah 13 unit penaung TUDM seluruh Malaysia telah terlibat dalam program perkhemahan ini.































