Panglima Operasi Udara

LEFTENAN JENERAL DATO’ SRI ACKBAL BIN HJ ABDUL SAMAD

PJN SSAP SIMP PSAT DSAP DIMP PAT JSM SAP SMP KAT AMN AAP PJM PPS PPA DSSC (Aust) psc (NZ) tp (UK) TUDM

Lt Jen Dato’ Sri Ackbal bin Haji Abdul Samad TUDM adalah seorang anak kelahiran negeri Johor Darul Takzim dan telah dilahirkan pada tanggal 04 September 1962. Beliau adalah anak sulung daripada empat orang adik-beradik dan telah dibesarkan di Klang, Selangor sebelum mengikuti keluarganya berpindah ke ‘kediaman tetap’ di Petaling Jaya, pada penghujung tahun 70an.

Lt Jen Dato’ Sri Ackbal adalah seorang bekas penuntut Cawangan Putera, Maktab Tentera DiRaja daripada tahun 1978 sehingga 1980. Sebagai seorang ”Putera”, beliau bukan sahaja gigih dan cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga begitu aktif di dalam kegiatan sukan khususnya, didalam permainan bola tampar, rugbi dan olahraga dimana beliau telah mewakili Maktab didalam acara-acara sukan tersebut.

Diatas dorongan keluarga dan minat yang mendalam untuk menjadi seorang juruterbang pejuang, beliau semasa menuntut di Cawangan Putera, MTD, telah menolak beberapa tawaran biasiswa dan kursus kerjaya seperti tawaran dari Syarikat Penerbangan Malaysia, ‘Malaysian International Shipping Corporation (MISC)’ dan Sime Darby pada awal tahun 1980an, dan sebaliknya telah memohon untuk menyertai perkhidmatan Tentera Udara DiRaja Malaysia skim tauliah jangka tetap pada tanggal 01 Jun 1980 di Cawangan Kadet, Maktab Tentera DiRaja di Sungei Besi.

Lt Jen Dato’ Sri Ackbal telah menjalani kursus penerbangan asas pada tahun 1983 di TUDM Alor Setar selama lebih kurang setahun dan merupakan ‘intake’ pertama yang dilatih menggunakan pesawat Pilatus PC 7, sebelum ditukarkan ke TUDM Kuantan bagi mengikuti kursus penerbangan peralihan pejuang menggunakan pesawat Aermacchi MB-339A di Pusat Latihan Terbang III (PULATIBANG III). Di atas berkat kegigihan dan semangat yang kuat, beliau semasa di TUDM Alor Setar telah berjaya meraih kesemua piala-piala pusingan yang sediada ketika itu, seperti Piala Kajian Bawah terbaik, Piala Juruterbang Terbaik dan Piala Penuntut Terbaik keseluruhan. Usaha gigih ini telah diteruskan oleh beliau semasa di Kuantan dimana sekali lagi berjaya meraih Piala Penuntut ‘Fighter Lead-In’ Terbaik ketika menjalani kursus penerbangan peralihan pejuang pada tahun 1984/85.

Karier awal sebagai seorang juruterbang pejuang operasi telah melihatkan Lt Jen Dato’ Sri Ackbal berkhidmat di beberapa buah skn operasi TUDM di sekitar tahun 1985-1990 dan 1994-1999. Bermula dengan No 9 dan 6 skn, dimana beliau telah menerbangkan pesawat Skyhawk A4 PTM diantara tahun 1985 sehingga tahun 1988, dan kemudiannya ke No 11 dan 12 skn di TUDM Butterworth sebagai seorang juruterbang operasi pesawat F 5E dari tahun 1988 sehingga tahun 1990.

Daripada tahun 1994, iaitu sekembalinya beliau dari kursus peralihan penerbangan pesawat MiG 29 di Rusia, sehingga ke tahun 1999, Lt Jen Dato’ Ackbal telah ditugaskan untuk menubuh dan seterusnya menerajui No 19 Skn yang merupakan sebuah skuadron operasi pesawat MiG 29N. Beliau telah banyak menimba pengalaman, baik dari segi pengurusan aset, anggota mahupun aktiviti-aktiviti operasi semasa berkhidmat di skuadron-skuadron operasi yang dinyatakan. Di antara pengalaman operasi yang pernah beliau lalui adalah operasi penerbangan pemantauan ‘Terumbu Layang-Layang’, operasi pemintasan pesawat angkut negara Rusia (Operasi ‘Zombie Watch’), operasi membenteras pengganas komunis melalui pengguguran bom di sempadan Malaysia-Thailand, operasi pemantauan Selat Melaka dan sebagainya. Selain daripada itu, Lt Jen Dato’ Sri Ackbal juga merupakan salah seorang daripada ahli tim aerobatik pesawat MiG 29 pada pertunjukkan udara LIMA tahun 1995 dan 1997 dimana beliau merupakan juruterbang ‘solo display’ di dalam pertunjukan tersebut.

Aspirasi dan impiannya untuk terus maju sebagai seorang juruterbang yang profesional terbukti apabila beliau telah lulus dan dianugerahkan sebagai penuntut terbaik kursus jurulatih penerbangan di Institut Latihan Instruktur Terbang (ILIT), TUDM Alor Setar pada tahun 1990. Diatas usaha gigih dan prestasi yang dipamirkan disepanjang karier beliau, Lt Jen Dato’ Ackbal pada tahun 1992 telah dipilih oleh Panel Khas TUDM untuk mengikuti kursus juruterbang penguji (Test Pilot) di United Kingdom bagi sessi latihan tahun 1993-1994. Peluang keemasan ini diterima bak kata pepatah ’kecil tapak tangan nyiru ditadahkan’ kerana ia merupakan suatu impian yang termakbur. Semasa menjalani kursus tersebut , beliau telah menerbangkan pel-bagai jenis pesawat/simulator (19 jenis) dan diantaranya termasuk pesawat pejuang Jaguar milik Royal Air Force, MiG 29 milik Zhukovsky Flight Test Centre-Rusia, L39 Albatross milik Syarikat Aero-vodocody di Republik Czech, Hawk T Mk1 milik Empire Test Pilot School di UK, Lear Jet – variable stability test platform, BAE 146, Saab 2000, King Air, Air Glider, pesawat aerobatik Extra 300, simulator pesawat Boeing 737-300, simulator pesawat Airbus A320, simulator Hawk 200 di Farnborough, simulator Jaguar di Scotland, simulator Eurofighter di BAE Warton, UK dan sebagainya. Kerjaya selaku juruterbang penguji TUDM, telah memperlihatkan penglibatan beliau di dalam kerja-kerja penerbangan pengujian keatas pesawat Hawk, Aermacchi, F5E, Beechcraft B200T dan MiG 29. Selain daripada itu beliau juga terlibat di dalam kerja-kerja pembangunan simulator MiG 29 dari tahap penyediaan ‘Air Staff Operational Requirement – ASOR’ pada tahun 1994, rundingan kontrak, pengumpulan dan penjanaan data-data melalui penerbangan ujian pesawat MiG 29 sehinggalah ke kerja-kerja penerimaan simulator tersebut pada tahun 1998. Beliau juga telah terlibat dalam membuahkan idea serta pelaksanaan ’qualification flight trials’ bagi beberapa kerja-kerja pemodifikasian keatas pesawat MiG 29 seperti pemasangan ‘Transformer Rectifier Unit -TRU’ , pentauliahan pemasangan sistem ‘smoke generator’, kerja-kerja pemasangan sistem kamera ‘Head-Up Display – HUD’, Hot brake safety cage trolley, serta kerja-kerja pemodifikasian tahap 3 kontrak perolehan pesawat MiG 29 iaitu pemasangan sistem ‘air-to-air refuelling prob’ dan ‘radar upgrade’.

Setelah lebih kurang 15 tahun bertugas secara aktif sebagai seorang juruterbang operasi, Lt Jen Dato’ Sri Ackbal kemudiannya telah diberi peluang oleh pucuk pimpinan TUDM untuk menerajui beberapa jawatan-jawatan pengurusan dan setaf, baik di Markas Formasi mahupun di Markas Tentera Udara di Kementerian Pertahanan. Diantara jawatan-jawatan yang pernah disandang oleh beliau adalah jawatan sebagai pegawai operasi di dalam tim Projek Pesawat Pejuang Baru (PPPB) – MTU pada tahun 1993/94, Pegawai Setaf 1 Keselamatan dan Piawaian No 1 DU pada tahun 2000, Pengarah Perancangan & Pembangunan (P&P)-MTU dari tahun 2002- 2004, Pemangku AKS P&P (5 bulan), Pemangku Panglima 1 Div Udara (3 bulan), Komander Pangkalan Udara Kuantan dari bulan Okt 2004 – Feb 2006, Panglima No 2 Div Udara di WP Labuan dari bulan Mar 2006 – Jan 2007, Panglima Logistik Udara dari Feb 2007 – Sept 2010 dan sebagai Panglima No 1 Div Udara dari Sept 2010-Nov 2010.

Manakala dari segi kursus kerjaya pula, Lt Jen Dato’ Sri Ackbal telah berpeluang menghadiri kursus-kursus seperti kursus Electronic Warfare di USA (1988) , kursus kejurulatihan (Instructional Technique – 1988) di Naval Training Centre di San Diego, CA, USA, kursus ‘staff college’ di RNZAF Whenuapai (Auckland,New Zealand – 1996) , kursus pengurusan dan pengoperasian sistem simulator (Montreal, Canada – 1997) dan kursus akademik Defence and Strategic Studies di Weston Creek (Canberra, Australia – 2001).

Lt Jen Dato’ Sri Ackbal merupakan seorang pengurus yang berpegang kepada prinsip ’Realist’. Beliau merupakan seorang yang praktikal, tegas dan mempunyai prinsip kerja yang sentiasa mengutamakan kualiti, ketepatan waktu dan keberkesanan tugas. Beliau juga percaya bahawasanya bekerja sebagai ‘satu tim’ adalah penting didalam sesuatu organisasi seperti TUDM dan selalu mengutamakan strategi ‘menang-menang (win-win)’ dan seboleh-bolehnya mengelakan opsyen ‘menang-kalah (zero-sum)’ apabila berdepan dengan situasi dimana beliau di haruskan membuat keputusan. Dari segi pengurusan pula, Lt Jen Dato’ Sri Ackbal mengutamakan kaedah pengurusan yang berteraskan kesan daripada yang berteraskan proses (process orientation management) kerana ianya pada pendapat beliau, adalah lebih efektif di zaman masakini dimana pengurus sentiasa dilambakkan dengan maklumat yang terlalu tinggi dan harus membuat keputusan dalam masa yang terlalu singkat. Beliau merupakan seorang ’proponent’ terhadap pentadbiran/pengurusan yang berteraskan kesan (outcome) kerana beliau percaya kaedah sedemikian mampu secara tak langsung, memperbaiki ‘proses-proses’ usang dan lapok yang tidak lagi berkesan dan efisen di masa kini. Kaedah pengurusan ini telah beliau praktikan ketika menerajui Markas Logistik Udara. Markas Logistik Udara telah melalui satu proses transformasi ketika di bawah pengurusan Lt Jen Dato’ Ackbal dimana banyak penambah-baikan telah dilaksanakan. Di antaranya adalah penyediaan manual kerja proses logistik udara, penyusunan semula proses pembaikan dengan menggunakan sistem komputer bersepadu, mengimplimentasikan sistem memohon sebut-harga melalui laman sesawang (web-based) , memperkemas-kinikan proses pembelian alat-ganti, penyusunan semula proses kerja di semua Matra-Matra, mewujudkan TCI Logistik TUDM, mengemas-kinikan stok alat-ganti didalam SPKB, mewujudkan senarai ’Approved Vendor List’ bagi kontraktor ’5 pillars’ TUDM, mewujudkan pengurusan ’Bonded Store’ TUDM di premis Airod Sdn Bhd dan pel-bagai lagi.

Selain daripada itu sebagai seorang tentera, Lt Jen Dato’ Sri Ackbal amat mengutamakan pengurusan waktu yang efesien dan tepat kerana beliau percaya bahawa di zaman moden ini terlalu banyak perkara yang terjadi dalam masa yang terlalu singkat dan berpendapat jika warga TUDM masih bekerja pada rentak masa ‘during my time’, maka dengan secara tak langsungnya, TUDM akan sentiasa berada di belakang zaman. Selain daripada itu, sebagai insan biasa, Lt Jen Ackbal mempunyai hobi-hobi seperti insan-insan lain, dimana beliau amat meminati aktiviti-aktiviti seperti memancing, seni foto, auto mekanik serta membaca.

Di atas dedikasi, komitmen serta budaya kerja yang dipamerkan oleh beliau, Lt Jen Dato’ Sri Ackbal telah menerima Anugerah Khidmat Cemerlang (AKS) sebanyak tiga kali iaitu, pada tahun 1991 semasa beliau seorang jurulatih terbang berpangkat Kapten di TUDM Alor Setar, pada tahun 1997 selaku PM No 19 Skn, PU Kuantan dan pada tahun 2003 selaku Pengarah Bahagian Perancangan & Pembangunan di Markas Tentera Udara. Selain daripada itu, Lt Jen Dato’ Sri Ackbal telah menerima anugerah Maulidur Rasul peringkat nasional daripada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong pada tahun 2006. Disamping itu, beliau juga telah menerima beberapa anugerah dan bintang kebesaran peringkat Negeri dan juga Persekutuan sebagai penghargaan terhadap beliau kepada Perkhidmatan, Negara dan Bangsa. Pingat-pingat yang dianugerahkan kepada beliau terdiri daripada pingat SSAP, SIMP, PSAT, DSAP, DIMP, PAT, SAP, SMP, KAT, AMN, AAP dan PPA.

Lt Gen Dato’ Sri Ackbal telah berkahwin dengan Datin Sri Norainy binti Shahar Alam dan telah dikurniakan dengan empat orang cahaya mata yang terdiri dari tiga lelaki dan seorang perempuan.